Berita

Malaysia jadi negara ‘penyamun’, pencapaian UMNO selepas 71 tahun

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Setelah lebih separuh abad ditubuhkan atau tepatnya 71 tahun, salah satu pencapaian terunggul UMNO ialah kejayaan menjadikan Malaysia sebagai negara ‘penyamun dan penyangak’, atau kita kenali sebagai kleptokrasi.

Sebelum ketahap ini, pentadbiran UMNO – BN diketuai Perdana Menteri Najib Razak juga telah ‘berjaya’ meletakkan kedudukan Malaysia dalam carta skandal serta rasuah global.

Sepanjang 17 bulan lalu, Najib telah ‘melonjakkan’ kedudukan ketiga Malaysia dari carta “skandal rasuah terburuk 2015” oleh foreignpolicy.com kepada kedudukan kedua, negara rasuah global oleh majalah Times.

Malaysia juga menduduki tempat kedua dalam indeks kroni kapitalisme pada bulan Mei dari Economist’s dan mendapat gelaran status ‘negara kleptokrasi global’ pada Julai setelah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman terhadap aset berkaitan 1MDB.

Malaysia terus menempa nama di peringkat antarabangsa apabila perjanjian usahasama RM7.41 bilion bagi memiliki 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia antara konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP, Ahli Parlimen Gelang Patah.

Keadaan ekonomi dan imej terburuk Malaysia akibat segala skandal mega ini kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan menghantui rakyat negara ini.

“Tidak ada ahli atau pemimpin UMNO dulu, kini dan selamanya termasuk enam orang bekas presidennya Datuk Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir atau Tun Abdullah pernah terbayangkan keadaan akan seburuk ini.

“Malah saya percaya 3.5 juta ahli UMNO juga tidak akan boleh menerima kedudukan Malaysia sebagai ‘negara kleptokrasi’ jika mereka benar-benar memahami perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambutan ulang tahun UMNO ke-71 pada kali ini turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan meminta UMNO menjadi contoh menentang rasuah.

Mesej SPRM itu kata Kit Siang perlulah diberi perhatian bukan tentang apa yang dikatakannya tetapi apa yang tidak diperkatakan iaitu mengenai ‘gajah depan mata’  skandal 1MDB yang telah menjerumuskan Malaysia sebagai negara ‘kleptokrasi global’.

“Adakah UMNO dan SPRM akan bertindak dengan berani dan patriotik bertanggungjawab membersihkan kehinaan ke atas Malaysia sebagai ‘negara kleptokrasi’?

“Hanya dengan bertindak demikian ulang tahun UMNO ke-71 akan menjadi gilang-gemilang dan bersejarah!” katanya lagi. – Roketkini.com