Berita

Hannah Yeoh buat laporan polis, selar artikel fitnah penyokong pro-UMNO

SUBANG JAYA, 15 MEI: Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini membuat laporan polis berhubung penerbitan artikel yang memfitnah beliau kononnya menyebarkan ajaran Kristian, suatu tindakan yang dilihat bercanggah dengan prinsip sekularisme DAP.

Artikel berunsur fitnah bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP” tulisan Dr Kamarul Yusoff itu memetik petikan daripada buku biografi Hannah bertajuk “Becoming Hannah” untuk mengambarkan kononnya DAP tersasar daripada prinsip asasnya itu.

“Saya sangat sedih dengan segala tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang telah dilemparkan kepada DAP dengan memanipulasi sentimen kaum dan agama terutamanya dalam keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) bakal menjelang tiba.

“Saya telah membuat laporan polis hari ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, untuk menasihati jalan perundangan yang akan diambil oleh saya dan parti selepas ini,” katanya.

Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, USJ 8, Persiaran Kewajipan dekat sini. Beliau turut ditemani komuniti USJ Zon 3 dan pemimpin PKR serta DAP.

Beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, DAP yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk mengamalkan ajaran masing-masing selagi mana keimanan itu tidak dipaksakan terhadap orang lain.

“Jelas bahawa DAP sebenarnya mempunyai agenda Malaysia, dan bukanlah agenda Kristian,” tegasnya sekaligus menafikan tuduhan artikel yang disiarkan di antaranya portal Malaysia-Today, Harakah, dan Utusan.

Hannah menjelaskan, sekularisme adalah konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan bukannya menolak agama.

“Negara sekular ialah sebuah negara yang mempunyai pemerintah yang mengiktiraf dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak berkuasa.

“Komitmen DAP terhadap negara sekular adalah bertepatan dengan apa yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa kerakyatan Malaysia memang bersifat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik tuduhan berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal kerana buku yang menceritakan pengalamannya sebagai penganut kristian itu dijual secara meluas dan telah diterbitkan sejak dua tahun yang lepas.

“Buku ini dilancarkan secara rasmi pada 2015 di Subang Jaya. Buku ini bukannya diterbitkan secara rahsia, ia dijual di kedai-kedai buku utama di negara ini.

“Jika benar saya ada agenda tersembunyi, kenapa saya terbitkan dan jual di tempat awam? Fitnah seperti ini (terhadap DAP) bukan perkara baru, kita sudah dengar lama. Ia sangat tidak bertanggungjawab memandangkan PRU semakin hampir,” ujarnya.

Tidak pernah sebar ajaran Kristian

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, selama lebih empat tahun pembabitan beliau dalam program yang dianjurkan secara bersama dengan Hannah, tidak pernah sekalipun pemimpin DAP itu menyebarkan ajaran kristian seperti yang didakwa.

“Dalam tempoh itu, kami telah melaksanakan secara bersama dalam banyak program, saya tidak pernah langsung nampak beliau dalam mana-mana majlis tersebut menyebarkan ajaran Kristian kepada komuniti,” ujar pemimpin PKR itu.

Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya, Nor Miswary Ramli

Beliau turut mengingatkan supaya masyarakat tidak terjerumus dalam kancah permainan kaum serta agama dan memberikan tumpuan kepada isu utama melibatkan ekonomi dan tadbir urus negara.

Telah membantu Hannah dalam dua kempen PRU yang terdahulu, Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya, Nor Miswary Ramli pula berkata, tidak ada unsur penyebaran ajaran Kristian diterapkan dalam program anjurannya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya percaya, keluarnya isu-isu menyerang Hannah Yeoh ini, adalah sebahagian daripada usaha-usaha yang cuba diatur kumpulan tertentu untuk memberi persepsi atau dalam keadaan memberi suasana yang tidak tenteram kepada pengundi orang melayu.

“Selama perhubungan saya dalam parti (DAP) bersama Hannah Yeoh kami sama-sama menggembleng tenaga untuk duduk berbincang dan menyelesaikan masalah rakyat tanpa melibatkan pengaruh atau usaha-usaha dakyah agama,” tegasnya.

Pengerusi Residents’ Association (RA) USJ 5, Aishah Osman berkata, beliau menyokong usaha Hannah melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa bagi mengekang penyebaran fitnah itu dalam masyarakat awam.

Resident Assistant (RA) USJ 5, Aishah Osman

“Beliau tak pernah cakap pasal agama, beliau tahu memisahkan bab agama dengan kerja” katanya menceritakan pengalaman mengadakan program antaranya gotong-royong komuniti dengan Hannah.

Malah, beliau menegaskan bahawa amalan agama seseorang itu adalah bersifat peribadi. – Roketkini.com