KUALA LUMPUR, 18 MEI: Laporan polis yang dibuat Kamarul Zaman Yusoff terhadap Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh membangkitkan persoalan sama ada pensyarah itu sesuai untuk bertugas di universiti awam Malaysia yang pelbagai kaum.
Ia juga, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, adalah tanda bahawa proses pembentukan negara selama enam dekad telah gagal dan harus diperbetulkan.
“Tidak boleh dibayangkan buku autobiografi Hannah Yeoh mengenai perjalanan peribadinya untuk menjadi penganut Kristian yang baik sekaligus rakyat Malaysia yang baik mendapat tentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perjalanan peribadi Hannah itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, adalah selaras dengan salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Kamarul Zaman dalam laporan polis yang dibuatnya itu antara lain mendakwa buku biografi Hannah bertajuk “Becoming Hannah” terlalu banyak petikan daripada kitab injil, selain menuduh Speaker Dewan Negeri Selangor itu kononnya mempunyai agenda Kristian.
“Adakah Kamarul akan seterusnya melarang pula kitab injil?” soal Kit Siang.
Katanya lagi, sejak mengenali Hannah pada pilihan raya umum (PRU) 2008, Naib Ketua Wanita DAP itu tidak berbincang dengan beliau mengenai “agenda Kristian”.
“Tidak ada agenda mengarut sebegitu dalam DAP atau dalam kalangan Ahli Parlimen atau Adun DAP.
“Sejak tujuh tahun yang lepas, Hannah Yeoh telah menjadi rakyat Malaysia contoh, Speaker dan wakil rakyat DAP yang berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosio-ekonomi,” ujarnya.
Malah, katanya, laporan polis yang dibuat Kamarul Zaman membuktikan prinsip Wasatiyyah (kesederhanaan) yang dipromosikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mencapai matlamat seperti yang diharapkan.
“Adakah Kabinet Najib akan menghentikan sikap tak bertolerasi agama, ekstrimis, dan polarisasi di Malaysia dan meletakkan subjek berkenaan sebagai agenda utama dalam mesyuarat pada Rabu depan pada 24 Mei?” soalnya. – Roketkini.com