KUCHING, 18 MEI: DAP Sarawak mengecam laporan polis yang dibuat Kamarul Zaman Yusoff terhadap Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang didakwa kononnya menarik orang ramai menjadi penganut baru melalui buku biografinya, “Becoming Hannah”.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, jika laporan polis Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu boleh dijadikan asas bagi menjalankan siasatan, maka buku yang mengandungi ajaran agama selain Islam juga akan mengalami nasib yang serupa.
“Ia akan menandakan matinya kebebasan beragama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, DAP Sarawak juga berpandangan bahawa pentaksub agama seperti Kamarul Zaman tidak sesuai untuk mengajar di universiti di negara ini.
“Bukan sahaja sikap taksubnya itu memalukan untuk sebuah negara berbilang kaum, tetapi dia, sebagai seorang pensyarah, akan mempengaruhi minda generasi muda untuk tidak bertolerasi terhadap penganut agama lain,” katanya.
Beliau yang juga Adun Kota Sentosa turut melahirkan rasa dukacita kerana individu seperti Kamarul Zaman yang diberi tugas sebagai pensyarah di universiti awam tidak ada langsung rasa hormat terhadap hak kebebasan beragama orang bukan Islam di negara ini.
“Justeru, DAP Sarawak juga berpandangan bahawa daripada polis menyiasat Hannah adalah lebih sepatutnya polis menyiasat Kamarul Zaman kerana mewujudkan suasana ketidakharmonian antara kaum dan kebencian terhadap agama lain,” ujarnya.
Kebebasan beragama rakyat Malaysia adalah dijamin dalam Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas mengenai tindakan PAS yang menyokong Kamarul Zaman, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu melahirkan rasa syukur kerana parti Islam itu tidak bersama Pakatan Harapan.
“Sama ada polis, di bawah Kementerian Dalam Negeri, akan mengambil tindakan terhadap Hannah Yeoh atau Kamarul Zaman, akan menjadi indikasi sama ada hubungan UMNO-PAS akan mengubah wajah sekular Malaysia ke arah Negara Islam yang mana akan mengurangkan kebebasan beragama orang bukan Islam di negara ini,” ujarnya.
Lidah rasmi PAS, Harakah, merupakan antara media yang menerbitkan artikel Kamarul Zaman yang memfitnah Hannah kononnya mempunyai agenda tersembunyi. – Roketkini.com