Rencana

Setiakawan bersama Hannah Yeoh

Melihat serangan demi serangan, polemik demi polemik yang entah kenapa ditimbulkan ke atas Hannah Yeoh, saya jadi gusar.

Andai kata seorang ahli akademik seperti Dr Kamarul Zaman Yusoff yang tentu sekali tidaklah perlu kita pertikaikan tingkat ilmunya mampu goyah iman dan kewarasan berfikir hanya dengan membaca tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri pertama daripada kalangan wanita itu, bagaimana agaknya dengan masyarakat yang lain?

Adakah tahap kebijaksanaan malah keimanan masyarakat Muslim hari ini begitu rendah dan rapuh?

Saya tidak pun berminat untuk mengulas lanjut tentang apa yang diperkatakan oleh baik penyerang-penyerang Hannah di laman sosial hari ini, mahupun oleh ahli akademik serba bijak seperti Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Saya kira itu adalah apa yang kita sudah pun sedia ketahui; tentang mentaliti masyarakat umum hari ini. Sebab itu jugalah kita hari ini memilih jalan perjuangan ke arah perubahan, antaranya dengan mencabar status quo masyarakat.

Kita mahu mengubah hal dan kekalutan ini. Secara peribadi, ini juga sebab saya menjadi ahli DAP pada asalnya.

Saya lebih tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Hannah sebagai respon kepada serangan ke atas beliau.

Dipetik daripada laporan Malaysiakini, Hannah menyebut “apabila saya takut kepada tuhan, saya akan bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan dan tidak mencuri wang rakyat. Saya tidak akan menjadi korup kerana tuhan melihat.”

Bagi saya, inilah tingkat moral paling asas bagi seorang pemimpin yang beragama. Inilah akhlak pemimpin yang paling asas namun tidak lagi kelihatan dalam kalangan terutama sekali fitrah banyak pemimpin kita hari ini.

Tidak sedikit pemimpin dalam kalangan Melayu Islam hari ini yang bercakap soal menegakkan Islam, namun akhlak asas sebagai pemimpin sama sekali samar. Pemimpin yang rasuah diangkat dan diampu setinggi-tinggnya.

Pemimpin baik seperti Hannah pula yang menjadi mangsa serangan seperti ini.

Hannah membuatkan saya tertanya kembali; apakah pemimpin Melayu Islam kita hari ini, yang seorang demi seorang tertangkap dan terdedah sebagai seorang perasuah, seorang korup, seorang kleptokrat tidak takut kepada Tuhan yang Maha Melihat?

Seharusnya masyarakat dan ahli akademik serba bijaksana seperti Dr Kamarul Zaman Yusoff itu bukan menyerang apa yang ditulis, jauh sekali apa yang dipercayai oleh Hannah, sebaliknya mengajak masyarakat mengambil iktibar dari tingginya akhlak dan kompas moral yang ditonjolkan oleh beliau.

Sebagai penggiat politik, saya kira apa yang ditonjolkan Hannah tidak seharusnya menjadi masalah buat kita semua. Apa yang ditonjolkan Hannah ini seharusnya ditonjolkan lagi oleh pemimpin-pemimpin yang lain.

Kita tidak harus takut dengan seorang Hannah dan ‘Tuhannya’. Kita sepatutnya berdoa agar ramai lagi pemimpin tersedar dan meneladani akhlak yang ditonjolkan oleh Hannah. Jika lebih ramai Hannah dalam negara ini, pasti negara ini akan terselamat, dan rakyat dapat hidup dengan dipimpin oleh insan yang baik.

Sebagai seorang wanita, sebagai seorang ahli DAP, sebagai seorang Melayu Islam, saya tabik hormat dan bersetiakawan bersama Hannah Yeoh. – Roketkini.com

*Siti Nur Shazreen adalah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim