Berita

SPRM tidak perlu pilih kasih heret ahli politik rasuah

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Tidak semua agensi kerajaan khususnya melibatkan penguatkuasaan undang-undang terlepas dari persepsi negatif masyarakat.

Tambahan pula apabila melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering menjadi tumpuan apabila menjalankan siasatan terhadap ahli politik dan individu-individu berprofil tinggi.

Bagi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, SPRM perlu berani dan bersifat bebas serta professional supaya agensi itu diyakini dan efektif membanteras rasuah.

Dalam kenyataannya, beliau berkata SPRM tidak perlu memberikan ‘layanan istimewa’ terhadap mana-mana ahli politik atau individu yang didakwa terlibat dalam rasuah dalam menjalankan siasatan mereka.

Beliau mengulas temu bual bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam.

Dalam kenyataannya, Dzulkifli berkata pihaknya telah menetapkan tidak akan bertindak terhadap ahli-ahli politik sebelum pilihan raya kerana tidak mahu dijadikan modal kempen politik.

“Kenyataan Zulkifly tidak meyakinkan dan tidak boleh diterima.

“Mengapa SPRM perlu risau terhadap penahanan yang dilakukan mereka dijadikan modal kempen? Ini bukan masalah SPRM. Sepatutnya ahli politiklah yang perlu risau dan malu dengan  reaksi atau kecaman,” kata Naib Pengerusi DAP itu.

Disebalik kenyataan janggal Dzulkifli itu, beliau hanya menyebabkan masyarakat tertanya-tanya terhadap sebarang kemungkinan bahawa SPRM menerima tekanan politik untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya berharap, SPRM dapat menjalankan tugas mereka tanpa rasa bimbang dan pilih kasih. Tak perlu tunggu selepas pilihan raya untuk bertindak,” katanya lagi. –Roketkini.com