Berita

Muhyiddin kesal insiden pemimpin DAP dikasari

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa kecewa dan sedih dengan insiden melibatkan pemimpin DAP, Liew Chin Tong yang dimarahi dan dihalau sekumpulan lelaki ketika mengedarkan kurma di Bazar Ramadan dekat Kluang.

Muhyiddin berkata, walaupun Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang bukanlah beragama Islam, beliau tidak sepatutnya dihalang dan dimarahi dengan kata-kata kesat hanya kerana berbuat demikian, lebih-lebih lagi beliau adalah ahli Parlimen di kawasan tersebut.

“Malah, setiap orang yang beragama Islam sepatutnya menampilkan akhlak Islam yang sebenar. Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak kasar kepada sesiapapun.

“Malah, Islam menuntut umatnya supaya bersikap rahmah atau mengasihi sesiapa sahaja,” kata Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini.

Dalam insiden sekitar jam 6.45 petang semalam, sekumpulan lelaki yang bertindak seperti samseng itu telah menghalau dan memarahi rombongan Pakatan Harapan yang mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dalam satu rakaman video yang menjadi tular sejak semalam dilihat turut dikasari kumpulan tersebut sehingga kaca matanya terjatuh.

Pembantu Khas kepada Chin Tong, Sheikh Omar Ali berkata, sebelum insiden tercetus, edaran kurma berjalan dengan baik, muhibah dan penuh semangat silaturahim.

“Namun kami amat kesal dengan apa yang berlaku setibanya kami di bahagian gerai menjual pakaian.

“Kami telah dimaki hamun, dikasari dan dihalau oleh sekumpulan pemuda,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama adalah penting untuk rakyatnya memupuk semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza latar belakang.

“Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

“Saya berdoa mudah-mudahan kita beroleh rahmah dan maghfirah Allah di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya. – Roketkini.com