Berita

Pesta menuai pupuk semangat muhibah rakyat pelbagai kaum

KENINGAU, 6 JUN: Kehadiran menggalakkan ke Pesta Kaamatan anjuran DAP Keningau di Pekan Bingkor baru-baru ini membuktikan ia bukan sekadar ritual kesyukuran semata-mata tetapi mampu menyatu-padukan pelbagai suku kaum negara ini.

Majlis yang telah dihadiri lebih 700 pengunjung itu telah dirasmikan bersama oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong dan Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili bertemakan ‘Kaamatan Monompuru Tinaru’ yang bermaksud Pesta Kaamatan Menyatukan Bangsa.

Sambutan itu menyaksikan kehadiran  pelbagai suku kaum dari Dusun, Murut, Bajau, Cina dan Melayu Brunei.

Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata Sabah perlu dijadikan model toleransi rakyat Malaysia.

“Sabah boleh mendidik Malaysia dan dunia tentang peri pentingnya menyebarkan nilai toleransi, persefahaman dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan toleransi sifar terhadap fahaman ekstrimis dan fanatik dalam apa jua bentuk,” katanya.

Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah persembahan alat muzik tradisi seperti sompoton, bungkau dan kulintangan; aktiviti menampi padi (meniri), pertandingan masakan tradisional, pertandingan minumam tradisi terbaik dan persembahan tarian magunatip.

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili dalam ucapannya tidak ketinggalan menceritakan tentang ritual tradisi yang dilaksanakan sebagai tanda syukur di atas hasil padi yang diperoleh petani.

Ritual yang dikenali sebagai ‘magavau’ itu dibuat pada bulan Mei setiap tahun dan bagi Sabah, tarikh 30 dan 31 Mei diwartakan sebagai cuti umum bagi sambutan tersebut.

“Dalam kepercayaan turun-temurun masyarakat KadazanDusun, semangat (bambarayon) padi perlu di jaga dan dipelihara mengikut tertib yang digariskan.

“Ini adalah supaya hasil perolehan padi untuk tahun-tahun seterusnya tidak terjejas oleh ancaman binatang, penyakit  tanaman ataupun cuaca.

“Semangat padi juga perlu dipelihara agar hasil padi yang sudah dituai cukup untuk kegunaan keluarga sehingga ke musim menuai padi yang seterusnya,” katanya lagi.

Hadir sama memeriahkan Pesta Kaamatan tersebut ialah Ahli-ahli Jawatankuasa DAP Sabah, pemimpin serta aktivis setempat. –Roketkini.com