Berita

Kalau PAS mahu jadi khadam UMNO, apa kita boleh buat?

SHAH ALAM, 30 JUN: Alasan PAS menolak pelawaan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dalam menangani skandal mega 1MDB menjadi isyarat bahawa PAS sudah tenggelam dalam skrip UMNO.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata PAS tidak sama sekali akan “terikut-ikut” dan “terpengaruh” dengan pihak luar, merujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Pakatan Harapan hari ini musuh kepada PAS dan mereka juga menuduh PAS kononnya mendapat duit daripada Umno dan sebagainya,” ujarnya dilaporkan media.

Sebagai reaksi kepada kenyataan terbabit, Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY) Muhammad Shakir Ameer mempersoalkan sama ada PAS tidak langsung peduli tentang penyelewengan yang berlaku.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, Khairuddin harus sedar betapa serius isu ini atau saja buat tidak tahu?

“Saya pelik dan geli dengan gelagat PAS baru baru ini. Dan tertanya-tanya saya adakah PAS ingin kembali dengan Barisan Nasional seperti dibawah Ust Asri Muda sesuatu masa dahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Shakir lagi, sikap PAS yang seolah-olah dilihat sebagai kuda tunggangan UMNO menimbulkan tanda tanya bahawa adakah parti tersebut lebih rela menjadi ‘macai’ kepada ‘Malaysian Official 1’ daripada melawan salah guna dana awam.

DOJ baru-baru ini mendedahkan butiran lanjut mengenai skandal pengubahan wang haram melibatkan dana terkait 1MDB yang digunakan untuk membeli hak cipta filem, serta barang kemas untuk seorang model, dan juga isteri kepada karakter ‘Malaysian Official 1’ yang disahkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PAS mengambil pendirian aneh dengan menyifatkan tindakan undang-undang DOJ terbabit sebagai campur tangan asing, meski kesalahan melibatkan dana 1MDB itu dilakukan di luar negara.

“Sebagai parti politik yang sudah lama dalam kancah politik, PAS hendaklah membuat keputusan untuk bersama mereka yang korup atau mereka yang melawan korupsi,” tegas Shakir. – Roketkini.com