Berita

Kastam hutang lebih RM36 juta kepada 12 PBT Selangor

SERDANG, 4 JULAI: Jabatan Kastam hari ini didakwa masih belum menyelesaikan hutang jabatan itu kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bernilai lebih RM36 juta.

Jumlah tersebut kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng merupakan tuntutan bayar balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang masih belum dipulangkan sejak tahun 2016.

“Saya ingin bertanya pula dengan Kastam bagaimana dengan GST yang Kastam masih berhutang dengan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam negeri Selangor yang masih belum dipulangkan sejak tahun 2016. Apakah tindakan yang boleh PBT ambil terhadap Kastam?

“Menurut maklumat yang di perolehi, bagi suku keempat tahun 2016 sahaja,  Kastam masih berhutang sejumlah RM36,182,986.95 juta kepada 12 PBT di dalam negeri ini,” kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Perkara ini ujarnya sesuatu yang tidak boleh di terima sama sekali kerana Kastam telah berjanji akan memulangkan ‘Output Tax’ kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dengan mereka dalam tempoh masa selewat-lewatnya 28 hari.

Berikut adalah jumlah tuntutan 12 PBT di Selangor kepada Kastam:

Majlis Bandaraya Shah Alam – RM5,994,802.68

Majlis Perbandaran Klang – RM5,608,374.23

Majlis Bandaraya Kajang – RM5,133,918.13

Majlis Perbandaran Ampang Jaya – RM5,007,221.75

Majlis Perbandaran Selayang – RM4,174,960.00

Majlis Bandaraya Petaling Jaya – RM3,245,106,13

Majlis Perbandaran Subang Jaya – RM2,787,986.95

Majlis Perbandaran Sepang – RM2,172,596.17

Majlis Daerah Kuala Langat – RM688,457.65

Majlis Daerah Hulu Selangor – RM725,319.51

Majlis Daerah Sabak Bernam – RM447,181.56

Majlis Daerah Kuala Selangor – RM198,040,98

Berdasarkan Seksyen 64, Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (2014), Akta 762, cukai GST tidak di kenakan ke atas apa-apa pembekalan barang atau perkhidmatan yang di buat oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri melainkan jika diarahkan selainnya oleh Menteri dalam perintah yang disiarkan dalam Warta.

Cukai itu juga kata Eddie dilaksanakan ke atas mana-mana PBT dan badan berkanun dengan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan.

Tindakan mengutip GST daripada PBT sebelum memulangkannya semula kata beliau telah menambah beban kerja kepada pagawai PBT dan merumitkan proses perbelanjaan tahunan PBT.

Ia juga jelasnya menjejaskan perbelanjaan tahunan PBT yang telah diluluskan dalam Perbelanjaan tahunan kerana terpaksa menyediakan enam peratus untuk GST bagi setiap projek infrastruktur yang di laksanakan.

“Kastam sepatutnya menggunakan sistem surat pelepasan bagi perbelanjaan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan untuk mengelakkan kesulitan yang berlaku kini. Contohnya, setiap kontraktor ataupun pembekal yang dilantik oleh PBT akan di bekalkan sepucuk surat peleasan GST daripada Kastam.

“Ini membolehkan invois yang di keluarkan kelak mencatatkan kadar GST pada sifar peratus dan kontraktor ataupun pembekal boleh membuat tuntutan ‘output tax’ secara terus dengan Kastam,” katanya.

Operasi pengutipan cukai GST terhadap PBT katanya lagi turut menimbulkan persoalan lain.

“Adakah kerajaan pusat sudah hampir bankrap dan perlukan wang GST daripada PBT untuk mengekalkan perbelanjaannya?” soal Eddie. –Roketkini.com