Berita

Zahid tidak perlu campur urusan ROS, DAP tidak takut buat pemilihan semula

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dingatkan supaya tidak mencampuri urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mengarahkan DAP melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

“Zahid adalah pihak lawan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Dia justeru tidak sepatutnya mencampuri sebarang keputusan ROS yang mana akan memberi kesan kepada DAP dalam PRU berkenaan,” tegas Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo dalam kenyataan baru-baru ini.

Peringatan itu ditujukan kepada Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan DAP berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan ROS bagi membincangkan mengenai arahan tersebut dan tidak mahu sebarang campur tangan berlaku seperti sebelumnya.

ROS, selepas bertemu dengan Zahid Hamidi, dalam kenyataan pada Jumaat lepas mengarahkan pemilihan semula dibuat selepas mendakwa CEC DAP yang dipilih pada 29 September 2013 sebagai tidak sah kerana kononnya tidak mengikut undang-undang.

Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah itu juga seolah mendakwa kononnya DAP tidak menggunakan senarai 2,576 perwakilan parti pada 2012 untuk melakukan pemilihan semula.

DAP tidak takut

Terdapat juga laporan media yang mengatakan DAP kononnya ingkar atas arahan untuk mengadakan pemilihan semula CEC di peringkat Kongres Nasional sedangkan ia tidak dibangkitkan sama sekali dalam kenyataan ROS itu.

“Tidak ada sebarang arahan langsung daripada ROS untuk DAP mengadakan Kongres Nasional dalam surat bertarikh 30 Julai 2013.

“Apa yang ada hanyalah arahan untuk DAP melakukan pemilihan semula berdasarkan senarai perwakilan 2012 seperti termaktub dalam Perlembagaan kami yang mana telah dijalankan pada 29 September 2013,” ujar Gobind.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya DAP takut untuk mengadakan pemilihan semula.

“Kita tidak ada sebab untuk takut. Malah, kita telah menjalankan pemilihan semula dan akan mengadakan Kongres pada awal tahun hadapan. Jadi persoalan tentang takut untuk mengadakan pemilihan langsung tidak timbul,” ujarnya. – Roketkini.com