Berita

Shafee mesti jawab jika terlibat lanjutkan tempoh khidmat Ketua Hakim

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Datuk Muhammad Shafee Abdullah, mesti menjawab pertuduhan baru terhadapnya dalam skandal pelanjutan tempoh khidmat Ketua Hakim Negara.

Tuduhan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah sangat serius kerana ia merupakan campurtangan terhadap badan kehakiman.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata dakwaan Ketua Umum PKR tersebut yang dibuat berdasarkan maklumat yang beliau terima mesti segera dijawab oleh Shafee, peguam yang digaji kerajaan bagi mengetuai pendakwaan terhadap Anwar.

“Ada akibat undang-undang yang serius sekiranya Shafee gagal menjawab tuduhan Anwar.

“Shafee perlu jujur dan menjawab tuduhan itu segera kerana jika beliau berlengah, imej badan kehakiman lah yang akan terjejas,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendedahkan sama ada Shafee terlibat dalam pelanjutan tempoh khidmat Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Anwar dilapor berkata bahawa beliau percaya bahawa Shafee terlibat dalam memberi pendapat dan asas bagi memutuskan pelanjutan khidmat Raus dan Zulkefli.

Kedua-dua pelanjutan terbabit adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – Roketkini.com