Sekarang adalah musim Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Ini adalah masa pemimpin UMNO menggunakan pentas persidangan untuk membangkitkan semangat ahli-ahli parti. Ia juga masa untuk menyerang musuh politik.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyerang Tun Dr Mahathir dengan mengancam untuk mendedahkan ‘aib’ Tun Mahathir jika beliau terus bersuara mengkritik Najib. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mendesak Tun Mahathir supaya bersara daripada politik. Katanya beri peluang kepada orang muda untuk berpolitik. Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Dato’ Razali Ibrahim, tidak semena-mena mengumumkan beliau bersedia melawan saya di Parlimen Muar dalam pilihanraya umum ke-14. Katanya saya sedang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.
Saya merasakan bahawa pemimpin UMNO sedang gelabah. Mereka tahu bahawa rakyat dan orang Melayu sendiri, termasuk ahli-ahli UMNO di akar umbi sedang menolak UMNO. Dalam setiap program anjuran PPBM, ribuan orang Melayu hadir dan ramai daripada mereka dahulunya adalah penyokong UMNO. Ini termasuk di kawasan-kawasan Felda yang dahulunya adalah kubu kuat UMNO. Kawasan-kawasan tidak pernah berjaya ditembusi oleh parti pembangkang. Kini, dengan kehadiran PPBM bukan sahaja kawasan-kawasan ini dapat ditembusi, malah ribuan hadir untuk mendengar ucapan Tun Mahathir, saya, Dato’ Seri Mukhriz dan pemimpin pembangkang yang lain.
Fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikatakan antara kubu kuat UMNO selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir ke majlis sambutan Aidilfitri PPBM. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangkakan semasa menubuhkan PPBM.
Gelombang penolakan orang Melayu kepada UMNO sedang berlaku. Ini kerana bagi kebanyakan orang Melayu, UMNO yang dahulunya berjuang untuk membela nasib orang Melayu, kini telah berubah menjadi parti yang membela kepentingan seorang individu, iaitu Presiden parti UMNO. Ketika orang Melayu sedang dihimpit masalah bebanan hidup yang paling teruk dalam sejarah negara, pemimpin UMNO lebih sibuk membela Presiden mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan daripada membela nasib orang Melayu.
Lebih banyak kedengaran suara pemimpin UMNO mengecam Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap petualang 1MDB daripada mendesak kerajaan supaya menghapuskan GST, mengawal harga barang, menghentikan pengenalan cukai baharu, menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar Melayu, menambahkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Melayu dan mempertahankan Bahasa Melayu.
UMNO telah berubah daripada sebuah parti Melayu kepada parti yang membela seorang individu. Kerana itu ramai ahli-ahli UMNO di akar umbi telah menyertai PPBM kerena mereka tidak lagi mempercayai UMNO. Bagi mereka, UMNO telah mengkhianati perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, tidak ada sebab lagi untuk orang Melayu menyokong UMNO dan mereka telah berhijrah menyokong PPBM.
Apa yang saya katakan sebagai ‘trust deficit’ orang Melayu terhadap UMNO sedang berlaku dengan pantas. Saya percaya, gelombang defisit kepercayaan Melayu ini akan bertukar menjadi tsunami Melayu yang besar dalam pilihanraya umum ke-14 dan menyaksikan perubahan kerajaan selepas itu.
Kerana itu, pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Razali Ibrahim kelihatan semakin gusar. Mereka ini adalah kawan-kawan saya semasa saya di dalam UMNO dahulu. Sebagai seorang Islam, saya tidak menyimpan sebarang perasaan yang tidak baik terhadap mereka.
Cuma, saya ingin memperkatakan sesuatu. Saya tahu bahawa mereka semua tahu masalah sebenar yang melanda UMNO. Ketika saya di dalam UMNO dahulu, ada antara mereka yang datang berjumpa saya untuk memberitahu masalah yang dihadapi oleh UMNO dan meminta saya melakukan sesuatu. Mereka katakan kepada saya, jika saya sebagai Timbalan Presiden UMNO pada ketika itu tidak melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan, negara akan hancur.
Namun yang anehnya, saya dan mereka mengambil jalan yang berbeza. Saya pun tahu masalah besar yang melanda UMNO dan negara ketika itu. Saya tiada jalan lain untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin parti dan kerajaan selain memilih untuk bersuara menyatakan kebenaran walaupun pahit. Saya menggunakan platform parti untuk menegur pucuk pimpinan parti supaya memperbetulkan keadaan dengan harapan langkah pembetulan dilakukan segera dan negara kita tidak terjerumus ke dalam lembah bahaya yang akan menyebabkan rakyat menanggung derita.
Sebaliknya, mereka semua memilih untuk berdiam diri dan menutup kebenaran. Bukan setakat itu sahaja, mereka kemudiannya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin parti yang mereka sendiri tahu telah melakukan satu kerosakan yang amat besar kepada negara. Akhirnya, mereka kekal di dalam UMNO dengan segala pangkat, kedudukan dan jawatan mereka.
Alhamdulillah, mungkin kerana perancangan Allah itu lebih baik, saya tidak lagi berada di dalam UMNO dan tidak perlu lagi bersekongkol dengan mereka.
Yang membezakan kami adalah kebenaran. Tun Mahathir, saya, Shafie dan Mukhriz memilih untuk menyatakan kebenaran demi untuk menyelamatkan rakyat dan negara. Tetapi mereka semua memilih untuk menutup kebenaran semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu.
Jika dua tahun dahulu mereka semua berani menyatakan kebenaran dan bersuara untuk membetulkan keadaan, saya percaya negara kita telah dapat diselamatkan lebih awal dan rakyat tidak perlu menanggung beban yang teramat berat seperti yang terjadi pada hari ini.
Saya berasa agak dukacita apabila Khairy Jamaluddin mendesak Tun Mahathir supaya bersara. Saya mempunyai harapan yang agak tinggi kepada Khairy ketika berada di dalam UMNO dahulu. Sebagai pemimpin sayap Pemuda UMNO yang sepatutnya sarat dengan idealisme orang muda, beliau sewajarnya mendesak Najib supaya berundur. Sebaliknya, Khairy memilih untuk mendesak Tun Mahathir supaya bersara.
Mendesak seorang pemimpin parti pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kuasa supaya bersara bukanlah satu bentuk keberanian. Sebaliknya mendesak Najib yang mempunyai segala kuasa di tangannya supaya berundur dan bersara adalah lambang keberanian anak muda yang sebenarnya.
Adakah Khairy dan barisan kepimpinan sayap Pemuda UMNO masih memiliki idealisme pemuda? Atau adakah idealisme Pemuda UMNO telah hilang entah ke mana kerana dijangkiti virus Cash is King?
InsyaAllah, tsunami Melayu yang dicetuskan oleh PPBM akan meranapkan virus Cash is King yang sedang dideritai oleh UMNO dan memulihkan kembali negara kita yang tercinta. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Ilahi. – Roketkini.com
*Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Hj Mohd Yassin adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mantan Timbalan Perdana Menteri