Rencana

Had penggal jawatan PM tanda iltizam politik HARAPAN

Saya menyambut baik tiga keputusan penting yang dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam yang melibatkan struktur kepimpinan, matlamat utama dan logo Pakatan Harapan. Tahniah kepada kepimpinan tertinggi HARAPAN.

Selain dari rekabentuk logo HARAPAN yang segar, saya melihat ada satu perkara yang benar-benar menonjol dan menarik perhatian. Iaitu antara matlamat HARAPAN untuk menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja. Saya melihat ada tiga sebab utama mengapa cadangan ini bagus.

Pertama, meskipun tidak menafikan sekiranya seorang Perdana Menteri itu bagus, sudah tentu warga Malaysia mengharapkan kepimpinan yang sama untuk tempoh masa yang panjang. Namun kita warga Malaysia telah melalui satu pengalaman yang mendewasakan. Hari tidak selalu cerah, sekiranya hujan turun mencurah-curah dan payung tidak disediakan, maka basah kuyuplah kita.

Kepimpinan Dato’ Sri Najib Razak umpama hujan yang menimpa dan mengingatkan kita. Dari skandal berskala dunia seperti 1MDB sehinggalah dasar demi dasar yang membebankan rakyat. Bayangkan sekiranya Perdana Menteri seperti beliau dibiarkan memerintah selama berpuluh tahun seperti yang dimahukan Barisan Nasional (BN), buruk padahnya terhadap warga Malaysia.

Kedua, tempoh jawatan Perdana Menteri yang singkat juga bakal membuka peluang kepada lebih ramai kepimpinan baru yang lebih segar. Lantas membuka jalan kepada orang muda untuk menerajui negara.

Berbanding BN yang hanya mahu Najib Razak untuk mereka tabalkan sebagai Perdana Menteri, HARAPAN mempunyai ramai calon-calon yang jauh lebih baik, berpengalaman dan bersiap sedia memimpin Malaysia menuju masa depan yang lebih baik. Dengan had tempoh pada jawatan Perdana Menteri, warga Malaysia berpeluang menikmati kepimpinan baik yang lebih pelbagai.

Ketiga, kita sudah melihat apa yang terjadi apabila parti yang sama iaitu BN menjadi kerajaan untuk tempoh berpuluh tahun. Terlalu lama di tampuk kuasa membuka terlalu banyak ruang untuk korup. Kita boleh lihat sendiri di depan mata salahguna kuasa, rasuah, kronisme melampau dan pelbagai kebobrokan lain.

Sekiranya negara yang sihat perlukan penggiliran dan bertukar-tukar pemerintahan. Tentu manfaat yang sama juga boleh diperolehi sekiranya tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan dan berlakunya penggiliran Perdana Menteri yang lebih kerap.

Satu matlamat ini pun sudah cukup untuk melihat betapa HARAPAN mempunyai iltizam kuat memulihkan kembali Malaysia dan melakukan pembaharuan yang bermanfaat untuk semua warga. Sedang BN hanya ada Najib Razak untuk mereka tawarkan kepada semua warga Malaysia. – Roketkini.com

*Edry Faizal adalah AJK DAP Selangor merangkap Ketua DAPSY Subang