Berita

Wanita HARAPAN cadang had minimum umur berkahwin dinaikkan ke 18 tahun

KUALA LUMPUR, 20 JUL: Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menyatakan komitmen dan berjanji untuk meningkatkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan dalam usaha menghapus perkahwinan bawah umur di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching katanya, kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun tidak bersedia daripada segi emosi, mental dan ekonomi untuk mengalas tanggungjawab yang dituntut dalam sesebuah perkahwinan.

Apatah lagi, katanya, perkahwinan bawah umur bukan sahaja memberikan kesan yang negatif terhadap fizikal dan kesihatan mental kanak-kanak malah menjejaskan peluang mereka dari segi ekonomi dan pendidikan, selain terdedah kepada keganasan domestik dan seksual.

“Perkahwinan bawah umur bukanlah penyelesaian untuk masalah sosial remaja, dalam kes tertentu, kanak-kanak dihukum dua kali apabila terpaksa mengahwini perogolnya dan dinafikan hak pendidikan, mobiliti sosial dan ekonomi.

“Pengantin kanak-kanak terdedah kepada penganiayaan dan terdapat juga beberapa kes di mana perkahwinan bawah umur berakhir dengan penceraian dalam tempoh masa yang singkat, meninggalkan mereka dengan anak yang masih bayi,” ujarnya.

Malah, lebih buruk lagi, kata kenyataan itu, Malaysia mempunyai kadar pendakwaan terendah dalam kes melibatkan penganiayaan seksual kanak-kanak sehingga menyebabkan pelaku jenayah berkenaan tidak takut dihukum atas kesalahan terbabit.

Perkahwinan bawah umur bukanlah perkara baru di negara ini. Terdapat hampir 9,000 kes perkahwinan bawah umur dicatatkan dari 2010 hingga 2015 dengan 6,268 adalah muslim manakala 2,775 kes melibatkan bukan muslim. – Roketkini.com