Berita

Najib PM paling teruk terpalit skandal – Kit Siang

GELANG PATAH, 20 JUL: Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri yang paling teruk dikepung dengan pelbagai masalah dan skandal berbanding penyandang terdahulu, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Pelbagai helah digunakan Najib untuk menutup skandal mega 1MDB yang membabitkan dirinya, namun, kata pemimpin veteran DAP itu, ia sebaliknya menjadi semakin buruk dengan pelbagai pendedahan pihak berkuasa luar negara.

Sebagai contoh, katanya, saman ketiga daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat telah dikeluarkan baru-baru ini bagi merampas aset berjumlah AS$1.7 bilion yang dipercayai diperoleh daripada hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dengan dakwaan terbaru itu, katanya, jumlah nilai aset yang bakal dirampas oleh pihak berkuasa tersebut meningkat daripada AS$3.5 bilion kepada AS$4.5 bilion sejak saman awal dikeluarkan pada Julai tahun lalu.

“Bukan itu sahaja, seorang perancang harta tanah BSI Singapura, Yeo Jiawei telah didakwa dan dipenjarakan atas kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan dana melibatkan 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, empat pegawai bank sama telah dijatuhi hukuman penjara serta denda atas kesalahan sama oleh pihak berkuasa Singapura.

Bagaimanapun, katanya, tindakan sebegitu tidak berlaku di Malaysia kerana Kabinet, Parlimen dan institusi tertinggi negara seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis dan Bank Negara tidak mengendahkan skandal berkenaan.

“Tiada siapa berani menyoal siapakah ‘MO1’ atau ‘isteri MO1’, sedangkan setiap rakyat Malaysia yang berpengetahuan tahu identiti mereka,” katanya.

“MO1” atau “Malaysian Official 1” disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen saman DOJ bagi merampas AS$1 bilion aset yang dipercayai dibeli melalui penyelewengan wang 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa ‘MO1’ adalah perdana menteri. – Roketkini.com