Berita

HARAPAN kecam keganasan Israel tutup Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengecam sekeras-kerasnya keganasan tidak berperi kemanusiaan rejim Israel yang berlaku di Baitulmaqdis ekoran penutupan Masjid Al-Aqsa.

Kenyataan itu dibuat Pengerusi Majlis Presiden HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat majlis tersebut sebentar tadi.

“Tindakan Israel kali ini lebih buruk dari apa yang biasa berlaku. Tentera mereka tendang orang sedang sembahyang.

“(Namun) Israel nampaknya boleh buat apa sahaja walaupun (tindakan mereka) bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Kita kutuk tindakan Israel ini,” kata beliau.

Pada Jumaat 14 Julai lalu, pihak berkuasa Tel Aviv bertindak menutup keseluruhan Kompleks Masjid Al-Aqsa dengan tidak membenarkan umat Islam Palestin menunaikan solat Jumaat.

Ia ekoran berlakunya insiden tembakan yang telah mengorbankan tiga rakyat Palestin dan dua tentera Israel.

Bagaimanapun kawasan tersebut dibuka semula secara berperingkat pada 16 Julai lalu.
Tindakan tersebut telah menyebabkan bantahan besar-besaran masyarakat antarabangsa akibat sekatan terhadap hak umat Islam.

Bantahan turut diadakan di Malaysia pada Jumaat lalu menyaksikan ribuan rakyat Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak membantah penutupan kiblat pertama umat Islam itu. – Roketkini.com