Berita

Malaysia perlu aktif bantu selesaikan konflik Israel-Palestin – HARAPAN

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis yang dilihat jelas mencabul hak umat Islam untuk melaksanakan ibadat.

HARAPAN dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan rejim berkenaan adalah bertentangan dan mencabuli Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 yang mana turut ditandatangi Israel.

Justeru, gabungan itu menggesa supaya tindakan secara kolektif dibentuk dengan segera oleh masyarakat antarabangsa bagi menghentikan secara serta merta penindasan yang dilakukan rejim Israel terhadap umat Islam di tanah suci berkenaan.

“Semua pihak mesti mendesak rejim Israel supaya menghentikan penutupan Masjid Al-Aqsa dan mengembalikan semula hak umat Islam untuk beribadat dengan aman di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam,” katanya kenyataan itu.

HARAPAN berkata, Malaysia sebagai negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

“Pakatan Harapan menggesa kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan utama dalam mempelopori usaha di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pencabulan hak umat Islam di Baitul Maqdis.

“Pakatan Harapan juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pertumpahan darah di Masjid Al-Aqsa mestilah dielakkan,” ujarnya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof; dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari. – Roketkini.com