Berita

Rabies: ‘Ada orang mati di kawasan saya, kenapa arah keluar dewan?’

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Hanya kerana menuntut ketelusan kerajaan berhubung bekalan vaksin anti-rabies, Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping diarah keluar dari sidang Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Ronald Kiandee hari ini.

Keputusan itu diambil Ronald berikutan Julian mengasak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang didakwanya cuba mengelirukan Dewan Rakyat apabila berkata terdapat vaksin yang mencukupi bagi menangani wabak itu.

Susulan itu, Julian membangkitkan Seksyen 36 (12) Peraturan Mesyuarat yang menyatakan bahawa mana-mana anggota yang membuat kenyataan yang mengelirukan dianggap sebagai menghina Dewan dan anggota itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

Bagaimanapun, Ronald membuat keputusan untuk menolak permintaan itu, dengan berkata bahawa peruntukan berkenaan hanya boleh dibangkitkan jika menteri itu berulang kali membuat penyataan dengan niat jahat, tanpa mendengar penjelasan yang ingin dibuat Julian.

Pemimpin DAP Sarawak itu meneruskan hujahnya dengan menegaskan bahawa wabak itu semakin tidak terkawal berbeza dengan apa yang ditegaskan kerajaan, sehingga memaksa Ronald mengarahkan beliau keluar dari Dewan.

“Kenapa suruh keluar dewan. Ada krisis di kawasan saya, ada orang yang telah mati!” tegasnya sebelum meninggalkan Dewan.

Julian dalam sidang media selepas diarahkan keluar dewan berkata, mobilisasi nasional harus digerakkan sebagai sebahagian usaha untuk menangani rabies.

“Saya akan bentangkan satu usul tergempar hari ini. Malah, usul berkenaan telah disediakan, cuma saya menunggu jawapan yang diberikan oleh menteri. Tapi apa yang dikatakan oleh beliau tidak mencukupi.

“Dua tahun lepas, penularan rabies berlaku dan tidak ada satu nyawa pun terkorban. (Tetapi) sekarang, penularan rabies berlaku di Sarawak, telah meragut lima nyawa namun kerajaan masing tidak memandang serius isu berkenaan,” ujarnya dipetik laporan Malaysiakini. – Roketkini.com