MENTAKAB, 25 JULAI: ‘Tsunami Melayu’ hanya akan membahayakan pemimpin UMNO yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa kata Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Justeru, ugutan sesetengah pemimpin UMNO kononnya ‘Tsunami Melayu’ membahayakan orang Melayu adalah tindakan terdesak malah telah merendah-rendahkan kesedaran politik Melayu menentang ‘kerajaan kleptokrasi’ pimpinan Najib Razak.
Adun Mentakab itu berkata demikian menyanggah dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang disiarkan Akhbar The News Straits Times baru-baru ini.
Tajuddin dalam laporan itu memetik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang cuba menggambarkan bahawa kerajaan alternatif yang ditawarkan pembangkang kononnya diketuai DAP.
“Tajudin mungkin sudah kena demam fobia yang teruk bila mengaitkan ‘Tsunami Melayu’ dengan DAP.
“Saya melihat ini sebagai salah satu jenis politik ugut-mengugut dan perkauman untuk mematahkan semangat kebangkitan orang Melayu menentang kerajaan UMNO pimpinan Datuk Seri Najib yang terpalit dengan skandal rasuah terbesar 1MDB,” katanya dihubungi Roketkini.
Kenyataan berbaur ugutan tersebut ujarnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu tidak akan mampu menakut-nakutkan lagi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Sebaliknya kata beliau rakyat akan melihat pemimpin-pemimpin UMNO semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka.
“Apabila skandal demi skandal didedahkan dan dipertikaikan rakyat, UMNO semakin lemas dan takut hilang tempat untuk bergantung.
“Adakah mereka kelak boleh jadi pembangkang yang kuat seperti Pakatan Harapan jika tiada sumber sumber derma dari hartawan Arab atau komisen jual beli peralatan keselamatan negara atau sebagainya?” soal Tengku Zul.
Pada 11 Julai lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kenyataannya berkata tahap hilang percaya (trust deficit) orang Melayu terhadap UMNO sedang berlaku dengan pantas.
Ia brlaku kerana orang Melayu secara umumnya melihat UMNO tidak lagi membela nasib rakyat tetapi menjadi sebuah parti yang hanya membela kepentingan individu tertentu yang paling teruk dalam sejarah negara.
“Saya percaya, gelombang defisit kepercayaan Melayu ini akan bertukar menjadi tsunami Melayu yang besar dalam pilihanraya umum ke-14 dan menyaksikan perubahan kerajaan selepas itu,” kata Muhyiddin. –Roketkini.com