Berita

Tony Pua berang soalan 1MDB ditolak dengan alasan merepek

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menolak dakwaan bahawa soalan berhubung 1MDB yang dikemukakannya secara bertulis di Parlimen dan ditolak Speaker Dewan Rakyat sebagai “sangkaan” dan “buah fikiran”.

Ini kerana, katanya, soalan berkenaan diajukan susulan daripada pendedahan Menteri Kewangan sendiri sebelum ini mengenai AS$ 2.3 bilion dalam bentuk unit yang dimiliki anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited dan disimpan dalam bank “custodian” yang tidak dinyatakan.

Dalam soalan bertulis berkenaan, Setiausaha Publisiti DAP itu meminta supaya kerajaan menyatakan baki nilai terkini pelaburan dalam bentuk unit yang dimiliki syarikat berkenaan dan nama institusi bank atau kewangan yang menjadi “custodian” kepada pelaburan tersebut.

“Justeru di mana ‘sangkaan’ atau ‘buah fikiran’ dalam soalan di atas apabila saya hanya bertanya mengenai nilai aset terkini yang masih disimpan bank ‘custodian’ berkenaan dalam bentuk ‘unit’?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Ia merupakan antara lebih 30 soalan daripada pembangkang yang ditolak oleh Speaker dengan pelbagai alasan yang dianggap tidak munasabah. Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai percubaan untuk menutup isu skandal 1MDB. – Roketkini.com