Berita

Jangan menyorok, Wan Azizah cabar Najib hadapi Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Datuk Seri Najib Razak digesa berhenti menyerang pembangkang dengan pelbagai tohmahan dan berdepan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjawab segala skandal yang berlaku dalam pentadbirannya.

Gesaan ini dibuat Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail susulan tindakan perdana menteri itu mengecam HARAPAN dalam program Invest KL 2017 yang berlangsung pagi tadi.

Katanya yang juga Presiden HARAPAN, kenyataan Najib itu dianggapnya sebagai memalukan dan “membuktikan betapa terdesaknya beliau” ekoran kedudukan gabungan pembangkang itu yang “semakin kukuh dan kuat dari hari ke hari”.

“Kenyataan Najib hari ini menunjukkan betapa takutnya beliau sekiranya HARAPAN memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), maka para kleptokrat dan perompak wang rakyat akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR turut mengingatkan agar Najib bersedia menerima keputusan rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang lancar jika HARAPAN berjaya memenangi PRU14 akan datang.

Beliau turut meminta Najib yang juga Presiden UMNO agar berhenti memperlekehkan HARAPAN dan segera menjawab segala skandal yang belaku di bawah pentadbirannya, khususnya membabitkan 1MDB.

“Saya justeru menggesa Najib untuk memberanikan diri dan berdebat dengan mentor lama beliau, Tun Mahathir untuk menyangkal segala dakwaan yang telah dilempar terhadap Najib dan pentadbiran beliau,” ujarnya.