Berita

UMNO panik, Khaled Nordin main politik kaum sampai terlupa ‘Bangsa Johor’

KLUANG, 31 JUL: UMNO kini dalam keadaan panik berikutan sokongan besar yang diraih Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas mengumumkan struktur kepimpinan mereka baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Keadaan panik ini dapat dilihat menerusi ucapan Datuk Khaled Nordin pada Sabtu yang menjangkakan UMNO bakal melalui jalan sukar untuk mempertahankan pentadbiran di Johor yang merupakan kubu kuat parti Melayu itu.

Dalam mengakui kelemahan UMNO, Menteri Besar Johor itu menurut Chin Tong bagaimanapun tidak mahu menerima hakikat bahawa punca kemarahan pengundi kaum Melayu adalah disebabkan oleh pentadbiran korup Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Khaled sebaliknya mengitar semula skrip perkauman lapuk Najib dengan menuduh DAP sebagai parti yang kononnya didominasi kaum Cina di Johor dengan harapan untuk menakut-nakutkan pengundi kaum Melayu.

“Bila dalam keadaan panik, Khaled tiba-tiba lupa terhadap (konsep) Bangsa Johor – landasan yang menyatukan semua rakyat Johor tanpa mengira kaum dan agama. Dia sebaliknya mendakap permainan kaum Najib. Kasihannya,” ujar Chin Tong dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP itu, taktik perkauman yang digunakan Khaled itu tidak akan berjaya kerana rakyat Johor kini sudah mula selesa dengan idea perpaduan antara kaum dan agama yang dibawa menerusi konsep Bangsa Johor.

“Untuk kerajaan baru dibentuk di Nusajaya mahupun Putrajaya, gabungan HARAPAN perlu menjadi penyuluh kepada penyatuan semangat Bangsa Johor, dan bukan kempen perkauman untuk memecahbelahkan yang kini sedang dibingkai Khaled,” ujarnya.

Selain Johor, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor sebelum ini turut meramalkan Kedah dan Sabah masing-masing berpotensi menyumbang 10 kerusi Parlimen tambahan untuk HARAPAN merampas pentadbiran kerajaan Persekutuan daripada cengkaman UMNO. – Roketkini.com