Berita

Kerajaan gagal laksana deklarasi UNDRIP pertahan hak Orang Asal – Jannie Lasimbang

KOTA KINABALU: Kerajaan gagal melaksanakan Deklarasi Hak Orang Asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) sebagaimana yang disetujui sebelum ini kata Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.

Menurutnya, tahun 2017 merupakan tahun ke-10 deklarasi itu disokong kerajaan Malaysia melalui pengundian dalam persidangan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2007.

UNDRIP merupakan undang-undang antarabangsa yang melindungi hak Orang Asal seluruh dunia dan juga membantu melindungi budaya, tanah dan juga cara hidup Orang Asal.

Jelasnya, deklarasi ini dibuat untuk memastikan supaya kesemua 370 juta Orang Asal seluruh dunia tidak akan berhadapan dengan diskriminasi ataupun eksploitasi.

Bagaimana pun, komuniti Orang Asal negara ini terus dibelenggu dengan pelbagai cabaran semasa melibatkan penghakisan hak seperti tanah dan sumber, ketinggalan dalam pembangunan ekonomi dan sebagainya.

Menurut Jannie, sejak sedekad lalu, organisasi orang asal, Majlis Peguam Malaysia, universiti-universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) terpaksa mengambil inisiatif sendiri bekerjasama menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran terhadap deklarasi tersebut.

“Sepatutnya tugas kerajaan ialah mengkaji peruntukan undang-undang, dasar-dasar yang melindungi kepentingan dan hak Orang Asal sebagaimana dalam deklarasi PBB itu.

“Mereka (kerajaan) perlu beri peruntukan atau sekurang-kurangnya, mengarahkan jabatan berkenaan untuk melatih pegawai-pegawainya mengenai deklarasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jannie mewakili Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) dalam sesi ke-10 UN Expert Mechanism mengenai di Geneva baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, beliau telah membentangkan laporan hasil kajiannya berdasarkan Deklarasi PBB dan Konvensyen ILO 169 melibatkan perbandingan perundangan dan dasar yang telah dilaksanakan di Malaysia.

“Kajian yang diterbitkan berjudul “Red and Raw: Indigenous Peoples of Malaysia and the Law” itu  jelas menunjukkan Malaysia ketinggalan jauh dari standard antarabangsa hak Orang Asal dan gagal mengikut keperluan pelaksanaan berlandaskan Perlembagaan dan peruntukan undang-undang,” ujarnya yang juga bekas Pesuruhjaya SUHAKAM.

Justeru, JOAS telah memberi beberapa cadangan kepada UN Expert Mechanism antaranya pemantauan secara berterusan pelaksanaan UNDRIP di Malaysia.

Ia termasuk melibatkan hak asasi manusia dan kebebasan Orang Asal begitu juga dengan keperluan untuk mengekal dan mengukuhkan ruang konstruktif serta hubungan baik antara pemerintah dengan Orang Asal.

Dalam masa yang sama ia sebagai sokongan kepada komuniti Orang Asal dalam memastikan kerajaan Malaysia lebih bertanggungjawab kepada rakyat terutamanya melibatkan perlanggaran hak asasi manusia katanya lagi. -Roketkini.com