Berita

Kemelut Kampung Mutiara akhirnya selesai, pihak terlibat capai kata sepakat

GEORGE TOWN, 31 JUL: Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap supaya penduduk Kampung Mutiara akur dan menghormati persetujuan yang telah dicapai antara kerajaan negeri, tuan tanah dan wakil penduduk di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, beliau percaya bahawa jalan penyelesaian yang dicapai antara ketiga-tiga belah pihak adalah keputusan yang terbaik setelah hampir 10 tahun isu di kampung berkenaan berlarutan.

“Penyelesaian yang telah dipersetujui ini merupakan penyelesaian terbaik, dan saya berharap agar semua pihak dapat mematuhinya serta akur serta menghormati persetujuan yang diputuskan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kemelut Kampung Mutiara bermula pada tahun 2007 apabila tuan tanah menyerahkan notis pengosongan kepada penduduk bagi membangunkan tanah di sini.

Isu berkenaan berlanjutan apabila keputusan mahkamah sebelum ini berpihak kepada tuan tanah sehingga perintah mahkamah dikeluarkan pada tahun 2015 bagi menangguhkan tindakan pengosongan tanah di kampung terbabit.

Difahamkan, penduduk yang terlibat akan ditempatkan di penempatan sementara di Sri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, sejak dua tahun lepas, kerajaan negeri telah berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan pertikaian antara penduduk kampung dan tuan tanah.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu menafikan hak tuan tanah, tetapi pada masa sama, kita tidak mahu penduduk di sini ditindas atau diusir keluar tanpa rundingan.

“(Dan) Alhamdulillah, setelah dua tahun, kita berjaya mencapai penyelesaian terbaik dan kata sepakat,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar mengumumkan bahawa kes berkaitan dianggap selesai setelah mahkamah membenarkan penangguhan selama tiga bulan yang turut dipersetujui oleh semua pihak termasuk tuan tanah.

“Hasil perbincangan pelbagai pihak, mahkamah memutuskan bahawa writ milikan tanah bertarikh 10 Julai lalu ditarik balik oleh tuan tanah dan ditangguhkan sehingga tiga bulan.

“Maka, penduduk hendaklah menyerahkan milikan kosong dalam tempoh tiga bulan, dan sekiranya gagal, pemilik tanah berhak mendapatkan milikan kosong iaitu penduduk dikehendaki keluar (dari tanah tersebut),” katanya disaksikan hampir 1,000 penduduk yang membanjiri kampung berkenaan.

Turut hadir bersolidariti dengan penduduk kampung tersebut adalah Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid, Chris Lee Chun Kit, Gan Ay Ling dan D.R. Kala. – Roketkini.com