Berita

DAP mahu Kementerian Pendidikan ringankan beban guru, kursus tidak relevan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Guru tidak sepatutnya dibebankan dengan kursus yang dilihat tidak relevan terhadap tugas mereka sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata demikian sambil merujuk program Blue Ocean Strategy Online Training (BOSOT) yang disertai ribuan guru pada tahun lepas berdasarkan jawapan bertulis yang diperolehinya di Parlimen.

Katanya, terdapat aduan daripada guru yang mengalami kesukaran untuk menjalani kursus berkenaan secara atas talian ekoran menghadapi kesulitan teknikal melibatkan kata laluan dan token yang diperolehi melalui platform Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE).

Selain itu, katanya yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP, program berkenaan juga memakan masa yang lama sehingga menganggu masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk persediaan P&P yang menjadi tugas asas seseorang guru.

“Tambahan pula, para guru juga kabur tentang ganjaran yang diperolehi apabila mengikuti kursus-kursus seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini sambil menegaskan bahawa KPM harus mencari jalan bagi mengurangkan bebanan guru dan bukannya menambah tugas sedia ada.

Berdasarkan jawapan bertulis Menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung persoalan yang dibangkitkan Sivakumar mengenai BOSOT, seramai 200,00 penjawat awam (Gred 41-54) telah menyertai program berkenaan dari 2016 sehingga 2017.

Manakala pada 2016, seramai 1,500 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) menyertai program tersebut yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam (INTAN) dengan kerjasama Malaysian Blue Ocean Strategy Institute (NBOSI).

Dalam jawapan bertulis berkenaan, KPM menegaskan bahawa BOSOT dilaksanakan bertujuan untuk memastikan lebih ramai penjawat awam termasuk PPP memilik ciri-ciri kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas mereka.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak turut mencadangkan supaya tinjauan di peringkat kebangsaan dijalankan KPM untuk menyelidik beberapa aspek terutamanya melibatkan tekanan dan beban yang dialamai guru.

Selain itu, katanya, tinjauan itu juga harus merangkumi persoalan mengenai sejauh mana guru mampu untuk menyesuaikan diri mereka terhadap cabaran keperluan kerjaya perguraan bagi tujuan kajian semula.

“Tinjauan tersebut seharusnya bersifat telus dan diplomatik agar membolehkan para guru tampil untuk membicarakan masalah dan dilema mereka secara terbuka dan tanpa was-was.

“Hal ini termasuklah kesulitan yang timbul akibat dikerah secara berterusan untuk mencapai objektif pencapaian prestasi sekolah dan Bidang Keberhasilan Utama (KRA),” katanya. – Roketkini.com