Berita

Elak krisis kehakiman, HARAPAN mohon Agong campurtangan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menghantar warkah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung perlantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Ia antara lain menzahirkan kebimbangan berlakunya krisis kehakiman sekiranya keputusan Ketua Hakim Negara tidak sah ekoran pelantikan yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kebimbangan itu merujuk kepada pelanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang Tan Sri Md Raus Sharif yang akan mula kuatkuasa dalam dua hari pada 4 Ogos ini.

“Mana-mana jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun, dan 6 bulan.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ianya akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4 Ogos 17 akan menjadi tidak sah.

“Juga, sistem pentadbiran kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan bukan diuruskan oleh hakim yang sah di sisi perlembagaan,” kata warkah tersebut.

Warkah disampaikan oleh pemimpin HARAPAN diwakili Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Datuk Dr Mujahid Yusof bersama Ahli-Ahli Parlimen HARAPAN.

Menurut warkah itu lagi, memandangkan pelantikan semula Ketua Hakim Negara dilakukan oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, maka, Yang Di-Pertuan Agong berhak untuk mengemukakan perkara tersebut supaya diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum berkuatkuasa di bawah Perkara 130.

“Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam HARAPAN, melalui warkah ini menyeru agar Tuanku melaksanakan budibicara untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula itu sah ataupun tidak.

“Ini adalah untuk menjamin tuanku YDPA dapat memelihara keluhuran perlembagaan malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat tuanku,” kata warkah itu lagi.

Isu mengenai pelanjutan Tan Sri Raus sebagai Ketua Hakim Negara sebelum ini pernah diketengahkan HARAPAN.

Dalam satu mesyuarat meja bulat di Parlimen 25 Julai lalu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mempersoal pelantikan Tan Sri Raus dan mendesak supaya Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. – Roketkini.com