Berita

HARAPAN serah memorandum, desak Bank Negara siasat semula 1MDB

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Anggota Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini berarak dari Parlimen menuju ke Bank Negara bagi menyerahkan memorandum berhubung skandal membabitkan dana berdaulat negara, 1MDB.

Menurut Ketua Parlimen Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia bertujuan bagi mendesak Bank Negara menyiasat semula 1MDB berikutan penemuan maklumat terbaru berkaitan skandal mega berkenaan.

Memorandum tersebut, katanya, mengandungi maklumat daripada dokumen saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkenaan aliran dana 1MDB yang diselewengkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri.

“Kami juga meminta Bank Negara untuk menyiasat keesahan dan kesahihan pelaburan ‘unit’ yang pada seketika waktu bernilai USD218 bilion yang sebelum ini disimpan dalam satu bank akaun BSI Singapura sebagai bank pemegang amanah (custodian bank).

“Kami percaya kegagalan 1MDB untuk menebus pelaburan ‘unit’ tersebut untuk membayar hutang kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) telah menjejaskan integriti sistem kewangan negara,” katanya kepada pemberita di sini.

1MDB dilaporkan kelmarin gagal membayar sejumlah AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) hutang kepada IPIC mengikut masa yang ditetapkan setelah persetujuan dicapai kedua-dua belah pihak pada 24 April lepas.

Jumlah itu adalah separuh daripada keseluruhan hutang syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) berkenaan kepada IPIC.

Wan Azizah yang juga Presiden HARAPAN berkata, Bank Negara perlu melakukan siasatan secara telus dan bebas dan gabungan pembangkang itu menurutnya bersedia untuk bekerjasama demi rakyat dan integriti sistem kewangan negara.

“Bank Negara harus menjadi neutral dan tidak melindungi mana-mana pihak,” tegasnya yang juga Presiden PKR.

Terdahulu, pihak Bank Negara hanya membenarkan 10 wakil untuk masuk ke bangunan agensi berkenaan bagi menyerahkan memorandum. – Roketkini.com