KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tergamak mendakwa kononnya kejayaan Pulau Pinang mengurangkan hutang negeri adalah hasil perjanjian penstrukturan semula air yang ditandatangani pada tahun 2011.
Begitu cemburu sekali menteri UMNO ini sehinggakan Rahman malah bertindak meminta Kerajaan Negeri membatalkan perjanjian penstrukturan semula tersebut.
Dalam reaksi balas terhadap sikap kebudak-budakan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta supaya Abdul Rahman mendapatkan fakta sebenar mengenai kejayaan pentadbiran Pulau Pinang.
“Pulau Pinang telah mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM65 juta pada hujung tahun 2016, paling rendah di antara semua negeri di negara ini.
“Adakah Abdul Rahman berasa sangat iri hati kerana kejayaan Pulau Pinang dalam pengurangan hutang dan tunggakan bayaran hutang sifar ini tidak dapat diikuti oleh Kerajaan Persekutuan, yang menyaksikan kenaikan sebanyak RM147 bilion dalam tempoh lima tahun daripada RM501.6 bilion pada tahun 2012 kepada RM648.5 bilion pada tahun 2016?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.
“Hutang Kerajaan Persekutuan mungkin akan melebihi RM800 bilion sekiranya liabiliti luar jangka dalam bentuk jaminan dan surat sokongan Kerajaan Persekutuan turut dimasukkan,” tambahnya.
Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, hutang-hutang sebelum Pulau Pinang diambil alih daripada Barisan Nasional (BN) adalah hasil kerja buat BN sendiri, dan merekalah yang sepatutnya menanggungnya.
Malah, katanya, hutang yang diambil alih Kerajaan Persekutuan itu tidak dilakukan secara percuma, sebaliknya melalui pertukaran aset air yang diserahkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan kini dimiliki oleh Putrajaya.
Selain itu, perjanjian penstrukturan semula air, pengambilalihan hutang air dan penyerahan aset bukan hanya khusus kepada Pulau Pinang tetapi turut dipraktikkan kepada semua negeri lain.
“Yang paling penting ialah Kerajaan negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai sebarang bayaran hutang tertunggak pada penghujung tahun 2016,” ujar Guan Eng.
Ini jauh berbeza dengan kerajaan negeri Pahang dan Kedah yang masing-masing mempunyai tunggakan hutang tertinggi sebanyak RM1.087 bilion dan RM1.028 bilion pada penghujung 2016.
Guan Eng turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan UMNO apabila semua bayaran hutang dibuat tepat pada masanya.
“Ini jelas membuktikan bahawa tidak seperti negeri lain, Pulau Pinang mempunyai wang untuk berbuat demikian kerana negeri ini diuruskan dengan baik dengan lebihan belanjawan direkodkan sejak tahun 2008,” katanya.
“Rahman tidak perlu buat perangai budak-budak hanya kerana kecemburuan politik,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com