Rencana

Kementerian Pendidikan digesa cari jalan ringankan beban guru

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar rungutan daripada para guru disebabkan oleh beban kerja yang berlebihan sehingga mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang tertumpu di bilik darjah. Hal ini menyebabkan ramai antara para guru mengalami gangguan emosi sehingga prestasi mereka terjejas.

Pada masa dahulu, para guru menawarkan komitmen yang lebih tinggi terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kerana tumpuan lebih diutamakan terhadap proses tersebut berbanding kini. Lebihan masa diluangkan di bilik darjah menyebabkan para guru dapat berinteraksi dengan baik bersama anak murid mereka. Ini mengeratkan lagi hubungan antara para guru dan murid-murid serta mendorong mereka mengerahkan sepenuh tenaga untuk mendidik murid-murid.

Pada masa kini, situasi telah banyak berubah, para guru tidak boleh dipersalahkan jika beban kerja mereka telah menghindarkan mereka daripada meluangkan lebih banyak masa berkualiti untuk proses P&P di bilik darjah. Komitmen terhadap P&P telah berkurangan kerana di samping beban kertas kerja, mereka juga terpaksa meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan program oleh pihak kementerian. Para guru menjadi lesu, lantaran prestasi P&P di bilik darjah turut terjejas. Secara keseluruhanya, ini telah mencemarkan kualiti pendidikan yang diterima oleh anak murid kita.

Berikutan itu, saya ingin mengesyorkan satu tinjauan peringkat kebangsaan dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan untuk menyelidik beberapa aspek terutamanya tekanan dan beban yang dialami oleh para guru pada masa kini. Disamping itu, sejauh manakah para guru mampu mengadaptasikan diri mereka terhadap cabaran dan keperluan profesion perguruan juga perlu dikaji semula.

Tinjauan tersebut seharusnya bersifat telus dan diplomatik agar membolehkan para guru tampil untuk membicarakan masalah dan dilema mereka secara terbuka dan tanpa was-was. Hal ini termasuklah kesulitan yang timbul akibat dikerah secara berterusan untuk mencapai objektif pencapaian prestasi sekolah & KRA.

Dalam Sidang Parlimen pada 31 Julai 2017, saya telah mengemukakan satu soalan lisan kepada Menteri Pendidikan menyatakan mengapakah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dipilih secara rawak untuk mengikuti program latihan Blue Ocean Strategy secara online (BOSOT) memandangkan program ini dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan tiada kaitan dengan pendidikan? Berapakah perbelanjaan kerajaan untuk mengendalikan program ini?

Jawapan daripada Menteri Pendidikan adalah seperti berikut:

NBOS summit pada 17 Jun 2016 telah memberi mandat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam (INTAN) dengan kerjasama Malaysian Blue Ocean Strategy Institute (NBOSI) untuk melaksanakan BOSOT dalam perkhidmatan awam yang melibatkan seramai 200,000 penjawat awam (Gred 41-54) mulai tahun 2016 sehingga 2017. Pada tahun 2016, seramai 1,500 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) KPM terlibat dalam latihan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa BOSOT bertujuan untuk memastikan lebih ramai penjawat awam termasuk PPP memiliki ciri-ciri kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas mereka. Beliau menyatakan bahawa pemilihan peserta dibuat dengan mengambil kira penempatan yang mempunyai capaian internet yang stabil dan infrastruktur ICT yang baik terutamanya dengan fokus kepada pegawai di bahagian Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Bagi PPP yang berfungsi di sekolah, peserta-peserta dipilih berdasarkan sekolah yang mempunyai capaian internet 4G. Beliau selanjutnya menjawab BOSOT ini dibiayai oleh Perbendaharaan Malaysia secara terus dengan pembekal perkhidmatan. KPM hanya bertindak sebagai pelaksana dalam mengenal pasti PPP yang akan melaksanakan kursus secara online ini.

Pada pendapat saya, para guru tidak seharusnya dibebankan lagi dengan kursus-kursus seperti ini. Aduan diterima bahawa adalah sukar bagi para guru untuk melayari internet secara online bagi menjalani kursus ini. Masalah yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan kata laluan dan token yang diperolehi melalui Frog VLE yang menyukarkan lagi perjalanan program ini.

Komitmen terhadap kursus seperti ini memakan masa yang lama. Masa yang sepatutnya digunakan untuk persediaan proses pengajaran dan pembelajaran yang menjadi tugas teras seorang guru disia-siakan. Tambahan pula, para guru juga kabur tentang ganjaran yang diperolehi apabila mengikuti kursus-kursus seperti ini.

Saya menegaskan bahawa pihak Kementerian Pendidikan seharusnya serius mencari jalan untuk mengurangkan beban kerja para guru dan bukannya menambahkan lagi tugasan yang sedia ada. Para guru seharusnya diberikan ruang masa yang lebih untuk memastikan proses P&P berjalan dengan lancar. – Roketkini.com

*V. Sivakumar adalah Ahli Parlimen Batu Gajah dan Setiausaha Antarabangsa DAP