Berita

Masalah dana PERMATA boleh selesai jika kembalikan permata merah jambu

PETALING JAYA, 8 OGOS: Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor tidak perlu gusar bagaimana badan itu dapat mencari dana bagi menambah pendapatan untuk menampung pengembangan program pendidikan kanak-kanaknya.

Ini kerana, cara paling mudah bagi menambah peruntukan PERMATA ialah dengan mengembalikan permata merah jambu dan segala barang kemas yang dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Beliau merujuk kepada saman sivil pelucuthakan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) yang mendakwa sebahagian wang yang dicuri dari 1MDB telah digunakan untuk membeli seutas rantai dengan loket berlian merah jambu 22 karat, bernilai US$27.2 juta, selain 27 gelang tangan dan leher 18 karat yang bernilai US$1.3 juta, untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

“Membaca laporan berita tentang bagaimana Datin Seri Rosmah Mansor begitu sedih tentang kurangnya duit untuk PERMATA amatlah menggelikan hati.

“Memandangkan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sendiri telah mengesahkan bahawa MO1 itu ialah Perdana Menteri Najib Razak sendiri, maka tidaklah jenuh sangat untuk kita meneka siapa dia gerangan ‘Isteri MO1’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam ucapan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan memperuntukkan RM85 juta untuk program PERMATA bagi tahun 2017.

Dengan mengembalikan ‘permata’ merah jambu yang bernilai RM120 juta tersebut, ia lebih dari mencukupi untuk program PERMATA selama setahun, kata Bee Yin.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun bersetuju kerajaan memberi tumpuan lebih kepada pendidikan awal kanak-kanak, peranan Rosmah Mansor dalam program-program berkenaan tidak diperlukan.

“Tiada siapa yang mempersoal keperluan untuk membangunkan pendidikan awal untuk kanak-kanak di Malaysia; tetapi apa perlunya agensi berasingan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan isteri Perdana Menteri sebagai penaungnya?

“Kenapa isteri Perdana Menteri, yang tidak dilantik oleh rakyat, mempunyai peranan yang begitu besar dalam kerajaan?” soalnya lagi. – Roketkini.com