Berita

Tun Mahathir sudah insaf, mahu perbaiki Malaysia – Syed Saddiq

PETALING JAYA, 9 OGOS: Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir sudah insaf. Beliau mahu mengembalikan semula Malaysia ke landasan yang sebenar sebelum tiba penghujung hayatnya.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman, bersetuju bahawa Mahathir bersedia untuk menjalankan penambahbaikan yang selama ini bertentangan dengan dasar yang dibawanya, sepanjang menjadi Perdana Menteri selama dua puluh tahun.

Beliau berkata demikian mengulas keraguan sesetengah pihak yang mempersoalkan keikhlasan Tun Mahathir dalam kerjasama gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menurutnya, komitmen Mahathir terhadap reformasi institusi negara ini dapat dilihat sebermula mengusahakan Deklarasi Rakyat yang telah ditandatangani parti-parti pembangkang negara ini, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mendokong usaha tersebut.

“Katakanlah Tun memang (niat) jahat, dia permainkan parti-parti (pembangkang) termasuk saya. Dah menang, dia berubah tiba-tiba misalnya.

“Tapi kita kena tanya (diri sendiri), ada dua perkara perlu kita beri tumpuan. Berapa umur Tun?- 92 tahun. Adakah kita rasa selepas tu beliau akan buat ‘u-turn’ lagi? Sangat susah!

“Dia sendiri tahu bahawa ini ialah pertarungan terakhir (final push). Dia selalu tekankan, dia beritahu saya dari hati ke hati, ‘Saddiq, saya akan pergi (meninggal dunia), tapi sebelum saya pergi, saya mahu lihat negara ni kembali ke landasan sebenar’.

“Dia (Tun) tak nak pergi dengan keadaan negara yang macam sekarang. Itu perkara terakhir dia nak tengok,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Roketkini, di Ibu Pejabat PPBM, dekat sini, malam tadi.

Syed Saddiq turut menjawab tuduhan sesetengah pihak termasuk dari UMNO kononnya penubuhan PPBM kononnya semata-mata demi kepentingan ‘kaum-kerabat’ Tun Mahathir.

Menurut beliau, segala dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali dan sekadar tohmahan memandangkan PPBM diterima masyarakat akar umbi khususnya orang-orang Melayu luar bandar.

Apa yang pasti tegasnya, parti-parti dalam HARAPAN memainkan peranan penting sebagai agen semak dan imbang antara satu demnga yang lain.

“Berapa kuat Tun nak tumbangkan UMNO (seorang diri)? Ya benar, Tun pengerusi (HARAPAN), tapi Pengerusi Harapan bukan macam presiden UMNO – boleh pinggirkan MCA, MIC.

“Dalam HARAPAN ada PKR, DAP, AMANAH. Jadi dalam keadaan ini kita periksa satu dengan yang lain. Misalnya kalau Tun buat salah, saya sendiri akan bersuara, akan ada orang dalam BERSATU akan bersuara, ada PKR, ada DAP, ada AMANAH akan bersuara.

“Kita semua saling semak dan imbang. Kita semua saling perlukan. Tipulah kalau kata BERSATU boleh bersendirian menang pilihan raya. Tipulah kalau kata DAP boleh bersendirian menang pilihan raya begitu juga dengan yang lain,” katanya.

Ikuti wawancara penuh bersama Syed Saddiq Sabtu ini. – Roketkini.com