Rencana

Kalau pun tidak setuju, tak perlu haramkan buku

Merujuk kepada pengharaman buku “Breaking The Silence: Voices of Moderation” oleh KDN baru-baru ini, saya sebagai Ahli Legaslatif Negara terpanggil untuk memberi komen atas beberapa perkara setelah membaca dan meneliti ide yang dilontarkan dalam buku tersebut.

Para penyumbang artikel dalam buku tersebut adalah terdiri dari pakar-pakar dalam bidang perundangan dan diiktiraf sebagai rujukan di institusi pengajian tinggi negara. Sebahagiannya adalah pengamal undang-undang dan berotoriti untuk memberi pandangan.

Apakah dengan pengharaman buku ini kita mengirimkan mesej songsang bahawa negara ‘tidak memerlukan pandangan pakar?’

Walaupun saya tidak bersetuju kesemua penulisan dan ide yang dikemukakan, namun lontaran untuk didebatkan dan dibahaskan ide-ide ini dalam suasana ketamadunan dan adab yang tinggi perlu diberi ruang yang selesa. Bagaimana ini boleh berlaku jika buku ini diharamkan?

Latarbelakang kepada lahirnya lontaran pandangan penulis-penulis dalam buku ini ada keabsahannya walaupun tidak semestinya saya bersetuju jalan penyelesaiannya.

Isu yang pada isinya menyentuh Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan secara realitinya telah melahirkan konflik perundangan yang memerlukan pendekatan remedi bukan disembunyikan di bawah tikar dengan tidak membuka ruang mengkritik ide cadangan-cadangan remedinya.

Isu perundangan dan pentadbiran Islam adalah terbuka kepada kritikan atas sebab ianya adalah bergantung kepada ijtihad semasa yang boleh berubah pada ketentuan zaman dan suasana. Saya ingin tegaskan bahawa mengkritik isu pentadbiran agama dan pihak berotoriti yang mentadbirnya bukan bererti mengkritik fundamental dan teologi agama.

Trend songsang dalam masyarakat hari ini yang disokong oleh kepentingan politik pihak tertentu seolah membawa mesej: “kritik pentadbiran agama adalah mengkritik agama!”

Pengharaman buku ini mengiakan trend songsang ini.

Penapisan kepada ide dan pandangan melalui kuasa Menteri dengan mengharamkan ide sesebuah penulisan hanya akan melahirkan masyarakat Malaysia ke zaman gelap.

Apakah para intelektual dan ulamak di Malaysia tiada ketahanan menyanggah ide-ide yang kononnya bercanggah dengan Islam sehingga kerajaan perlu campurtangan?

Tindakan ini menghina keintelektualan para ilmuan dan ulamak Islam kerana dengan pengharaman, ia tidak memberi ruang kepada pandangan lain yang mampu menyaingi ide buku ‘Breaking The Silence’ ini pada medan mainan yang sama rata.

Pengharaman buku yang disebutkan adalah episode gelap dalam persaingan sihat percambahan ide, apatah lagi wacananya ialah tentang kenegaraan dan perundangan yang merupakan asas ketamadunan Malaysia.

Komitmen sebuah demokrasi hendaklah mempertahankan prinsip “hak untuk berbeza pendapat”. Saya akan ulangi sikap yang perlu ada pada Sang Penguasa dengan kata-kata ini:

“Aku mungkin tidak bersetuju dengan pandangan kamu, tetapi aku akan mempertahankan hak kamu untuk tidak bersetuju”

*Dr Mujahid adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara