Berita

Belasungkawa Kerk Kim Hock, pemimpin setia, berprinsip, disegani kawan dan lawan

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Mantan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock yang menghembuskan nafasnya kali terakhir malam tadi setelah 15 tahun berjuang melawan barah merupakan seorang insan yang sangat berprinsip, tegas dan setia kepada parti.

Namun, di sebalik ketegasannya, sikap keterbukaan dan kebijaksanaan menjadikan Kerk seorang yang mudah didekati dan tidak memiliki ramai musuh kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kerk sangat setia kepada keluarga dan rakan-rakannya sebagaimana setianya beliau kepada DAP dan prinsipnya.

“Walaupun tegas dengan prinsip keadilan, demokrasi, kebebasan dan kejujuran, beliau mudah menjadi kawan dan tidak ramai musuh. Beliau ahli politik Malaysia yang jarang kita temui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, Kerk merupakan sosok yang setia dan tidak pernah berputus asa sepanjang perjuangan DAP mendepani pelbagai dugaan berat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengunjungi Kerk Kim Hock.

“Beliau tidak meninggalkan parti walaupun menjadi antara yang ditahan dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Beliau juga tidak meninggalkan parti ketika DAP mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1999 di mana kedua-dua pemimpin utama DAP iaitu Lim Kit Siang dan Pengerusi Kebangsaan, Karpal Singh ditewaskan.

Kerk Kim Hock merupakan bekas setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan pernah menjadi Ahli Dewan Undnagan Negeri (Adun) Durian Daun dari tahun 1986 hingga 1990.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Pinji (Ipoh Timor) dari tahun 1990 dan 1999 dan juga menjadi wakil rakyat Parlimen Kota Melaka dari tahun 1999 hingga 2004 sebelum bersara dari politik.

Dalam tempoh 1999 hingga 2004, Kerk telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung DAP yang keempat.

Menurut Guan Eng, kualiti kepimpinan Kerk dapat dilihat jelas seawal menjadi penuntut di Universiti Monash, Australia sewaktu aktif dalam Persatuan Pelajar Malaysia Monash Universiti Monash (MUMSU).

Sifat kepimpinan dan keperibadian tinggi yang ada pada Kerk ujar Guan Eng berjaya melonjakkannya untuk memenangi pemilihan Presiden MUMSU dengan kemenangan besar.

“Kerk cukup mengagumkan saya, walaupun habis-habisan menentang lawannya, beliau masih boleh berkawan dengan mereka malah tidak pernah berasa kecil hati terhadap mereka,” katanya yang ketika itu junior setahun dari Kerk.

Ketokohan yang ditonjolkan Kerk itu semakin ketara apabila menyertai DAP kerana didorong oleh semangat dan kepimpinan Lim Kit Siang.

Kata Guan Eng, kecerdasan, sikap sensitif dan bijak menganalisa situasi politik semasa menjadikan beliau dilihat berpotensi untuk menjadi seorang pemimpin masa depan DAP.

“Kerk sangat mempercayai integriti Kit Siang dan faham setiap implikasi pertimbangan politik Kit Siang.

“Banyak kali beliau memberitahu, walaupun mungkin tidak selalu bersetuju dengan keputusan Kit Siang, namun beliau sentiasa percaya sebarang penilaian yang dibuat oleh Kit Siang selalunya sangat tepat,” katanya. – Roketkini.com