Berita

Empat sekeluarga terpaksa minum air sungai tercemar, wakil rakyat buat apa?

TULID, 10 OGOS: Empat keluarga di Kampung Batu Luguan dekat sini terpaksa bergantung kepada air sungai tercemar bagi keperluan harian mereka sejak banjir besar melanda daerah Keningau-Pensiangan April lalu.

Menurut salah seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, keluarganya tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan air sungai yang tercemar dengan sisa buangan kilang sawit.

“Kami tiada pilihan, kami perlukan air,” katanya.

Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan

Prihatin dengan keadaan itu, Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan polypaip yang disambungkan dari rumah ke rumah untuk menyalurkan sumber air bersih kepada empat keluarga terbabit.

Menurutnya, walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar, beliau berharap ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Robinson juga turut mendesak pihak berkenaan supaya mengambil langkah segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang sering dihadapi penduduk di sini.

Katanya, pemberian tangki biru oleh Parti PBRS dilihat tidak mampu mengatasi bekalan air bersih di kawasan tersebut.

“Wakil kerajaan sepatutnya turun padang dan menggesa agar isu yang berkaitan dengan keperluan asas rakyat terutamanya masalah akibat bencana alam ditangani secepat mungkin dan menyeluruh.

“Bila kami (DAP) suarakan, bukan bermaksud kami memburuk-burukkan kerajaan tapi kegagalan pentadbiran kerajaan sendirilah yang dilihat rakyat,” katanya lagi.

Kejadian banjir besar yang berlaku April lalu itu telah mengakibatkan lapan jambatan musnah dan rosak teruk serta mengakibatkan 1,500 orang penduduk terjejas. -Roketkini.com