Berita

Difitnah hina ‘Bangsa Johor’, Mahdzir minta penjelasan Ketua Pemuda UMNO negeri

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Satu lagi fitnah yang cuba menjatuhkan reputasi baik DAP sedang berlegar di media sosial. Kali ini melibatkan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim kononnya telah mengeluarkan kenyataan menghina ‘Bangsa Johor’.

Dalam fitnah tersebut, gambar Mahdzir diletakkan bersebelahan perkataan: ‘Bangsa Johor- slogan dari anak Raja yang kini menjadi retorik politik murahan. Rakyat Johor jangan tertipu. Kekallah bersama Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan sekarang’.

“Saya menyeru kepada mereka yang berkongsi fitnah di laman-laman sosial supaya berhenti dari menyebarkan berita tidak benar.

“Mereka boleh merujuk kepada saya sebelum membuat apa-apa andaian yang akhirnya menjadi berita palsu,” katanya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim

Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak menyebarkan fitnah memburukkan namanya dan DAP itu adalah ‘lelucon politik budak-budak suruhan’”, katanya dalam kenyataannya hari ini.

Tidak sekadar itu, Mahdzir secara tiba-tiba turut ‘diserang’ Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim dalam kemaskini facebook semalam antara lain menuduh Mahdzir sebagai cuba membangkitkan sentimen Bangsa Johor dan sebagainya.

“Dari lapan perkara yang dicatatkan oleh Hahasrin, saya tidak tahu apakah yang beliau mahukan daripada saya, selain daripada menuduh saya tidak faham konsep Bangsa Johor dan beliau mahu saya memohon maaf,” kata Mahdzir.

Tanpa menamakan rencana Mahdzir di Roketkini yang dimaksudkannya, Hahasrin juga mendakwa Mahdzir cuba menegakkan benang yang basah dan mendesak Mahdzir bersama-sama kepimpinan DAP Johor membuat permohonan maaf kepada rakyat Johor.

Gelagat Ketua Pemuda UMNO Johor tersebut kata beliau amat menghairankan.

“Tolong beritahu saya, dari perkara-perkara yang beliau (Hahasrin) catatkan (dalam laman facebook), apa kesalahan yang telah saya buat? Tolong nyatakan mana-mana ayat saya yang salah.

“Dalam artikel mana yang beliau maksudkan itu? Perenggan yang mana? Salah ejakah atau salah titikkah? Di manakah ayat-ayat saya yang bersalahan dengan pendirian saudara Hahasrin?

“Dan, kerana apa saya harus minta maaf? Minta maaf pada siapa? Berilah jelas-jelas, kan senang. Takkan ketua pemuda negeri Tiang Seri UMNO tahap ini!” kata Mahdzir.

Justeru, beliau mahu supaya semua pihak supaya mengamalkan politik sihat dengan mengemukakan hujah dan bukan sekadar melontarkan dakwaan tidak berasas.

“Atas semangat Bangsa Johor, jauhkan dari politik fitnah. Kita Berpolitik dengan hujah, perbezaan pendapat harus dilayan dengan cara beretika,” tambahnya. – Roketkini.com