Rencana

P. Pinang hilang identiti bangsa dan agama, fitnah jahat MB Johor

Macam mana identiti bangsa dan agama di Pulau Pinang boleh dihilangkan bila peruntukan Kerajaan Negeri Pakatan untuk hal ehwal Islam dinaikkan 84% kepada RM457 juta untuk tempoh 2008-2015 berbanding dengan tempoh sama 2000-2007 di bawah kerajaan negeri BN Pulau Pinang?

Pengerusi Umno Johor dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tidah harus mainkan isu perkauman dengan memomokkan rakyat Johor akan jadi Pulau Pinang kedua untuk mengekalkan kuasa. Malah beliau menambah “Johor bukan Pulau Pinang kedua yang kehidupannya dihambat dengan pemikiran liberal yang menghilangkan identiti bangsa dan agama.” Ini fitnah jahat sama sekali.

Macam mana identiti bangsa dan agama di Pulau Pinang boleh dihilangkan bila peruntukan untuk hal ehwal Islam dinaikkan 84% kepada RM457 juta untuk tempoh 2008-2015 berbanding dengan tempoh sama 2000-2007 di bawah kerajaan negeri BN Pulau Pinang? Fitnah jahat seperti ini adalah serupa dengan tuduhan oleh Pengerusi MCA Pulau Pinang terhadap saya sebagai anti-Cina kerana menaikkan peruntukan untuk hal ehwal Islam sebanyak 84% kepada RM457 juta untuk tempoh 8 tahun daripada 2008-2015.

Adakah Mohamed Khaled naikkan peruntukan untuk hal ehwal Islam sebanyak 84% berbanding dengan Menteri Besar Johor sebelum ini, Tan Sri Abdul Ghani Othman? Sebaliknya di bawah kerajaan BN Pulau Pinang, untuk tempoh sama 8 tahun sebelum 2008, peruntukan hanya sekadar RM250 juta jauh berbeza dengan RM457 juta oleh kerajaan negeri Pakatan. Akan tetapi ini tetap mengundang kritikan rasis oleh UMNO bahawa saya anti-Islam dan anti-Melayu serta juga daripada MCA bahawa saya anti-Cina kerana naikkan peruntukan untuk Islam sebanyak 84%?

Apakah maksud jahat bila beliau tekankan Johor moden tetapi Islam? Janganlah lemparkan serangan berunsur fitnah ini ke atas DAP semata-mata kerana Pulau Pinang dipimpin oleh Ketua Menteri yang berbangsa Cina. Saya harap Mohamed Khaled gunakan fakta bukan fitnah untuk lawan DAP, bersikap rasional bukan emosi dan berbudi pekerti bukan benci-membenci.

DAP tidak pernah ada agenda jahat terhadap orang Melayu atau bukan Melayu, kecuali menjaga semua rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama maju, selamat dan bermaruah. Kerajaan negeri Pulau Pinang bukanlah anti Melayu, anti Cina atau anti India, kita hanya anti rasuah sahaja. Sekiranya nak membenci, bencilah rasuah, bencilah kemiskinan dan bencilah dadah. Janganlah benci untuk pecah-belahkan rakyat demi mengekalkan kuasa.

Dengan pentadbiran cekap, akauntable dan telus(CAT), Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun sejak 2008 dengan lebihan terkumpul sebanyak RM573 juta sejak 2008 selama 8 tahun. Ini jauh lebih besar daripada lebihan terkumpul kerajaan negeri Barisan, dalam tempoh 50 tahun daripada 1957 ke 2007 sebanyak RM373 juta.

Yang lebih menyerlah, rizab kita naik RM 1 bilion kepada RM1.8 bilion daripada RM849 juta pada 2007. Hutang juga dikurangkan sebanyak 90% kepada RM65 juta, yang paling rendah di Malaysia berbanding dengan hutang-hutang Pahang RM3 bilion, Kedah RM2.5 bilion, Kelantan RM1.4 bilion dan Johor RM413 juta. Ini membolehkan kerajaan negeri Pulau Pinang mulakan program emas di mana RM412 juta telah diagihkan kepada rakyat secara wang tunai.

Di antara lebih 300,00 orang penerima di Pulau Pinang termasuklah, warga emas, ibu emas, OKU, ibu tunggal (semua RM100 setahun), wang khairan/pengkebumian(RM1,000), anak emas(RM200), mahasiswa(RM1,000), pemandu teksi dan bas sekolah(RM600 setahun), penarik beca(RM1,200 setahun), nelayan(pukat pantai dua kali setahun) dan menjaminkan setiap keluarga dapat RM790 sebulan dengan imbuhan bulanan. Adakah program ini yang sama dijalankan di Johor?

Jangan pula lupa bahawa Pulau Pinang tidak pernah ada catuan air seperti yang kerap berlaku di Johor. Sungguhpun tak ada catuan air, Pulau Pinang mengenakan kadar tarif air yang paling rendah di Malaysia sebanyak 32 sen untuk setiap 1,000 liter bagi 35,000 liter pertama, berbanding dengan Johor yang mengenakan RM1.32 iaitu 4 kali ganda lebih mahal.

Jelas sekali Johor boleh mengatasi semua masalah ini dan menikmati menfaat yang lebih baik sekiranya ada kepimpinan yang berkesan. Kepimpinan yang leibh berkesan daripada Mohamed Khaled bukanlah datang daripada DAP tetapi daripada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor. Jangan cuba kaitkan Johor akan jadi Pulau Pinang kedua kerana di bawah kepimpinan berkesan Pakatan Harapan, negeri Johor dengan sumber asli dan modal insan yang begitu kaya memang boleh lebih maju dan makmur daripada Pulau Pinang.