KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Kerajaan UMNO diminta supaya tidak memperbodohkan pengundi di Selangor dengan mengembar-gemburkan bahawa skandal membabitkan firma pelaburan negara, 1MDB kononnya persepsi yang dicipta pihak pembangkang.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, ia bukanlah masalah persepsi seperti yang didakwa pemimpin parti pemerintah itu, sebaliknya percubaan berkali-kali UMNO untuk memalsukan fakta berkaitan skandal berkenaan yang seringkali menemui kegagalan.
“Orang Selangor, apatah lagi di Petaling Jaya Utara, boleh melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB mengelak untuk menjawab soalan ‘sensitif’ berkaitan skandal mega melibatkan RM50 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, rakyat Selangor tidak mudah tertipu terhadap dakyah kerajaan kleptokrasi UMNO kerana mereka mampu untuk menilai segala fakta berkaitan 1MDB yang telah mengakibatkan negara kehilangan berbilion ringgit.
“Mereka boleh membaca yang tersirat daripada kegagalan Perdana Menteri untuk menafikan atau menerangkan mengenai sejumlah AS$732 juta yang berakhir di akaun peribadi Ambank beliau sejak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendapati wang berkenaan berasal daripada 1MDB.
“Mereka juga boleh membaca apabila isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, gagal untuk menjelaskan atau menafikan bahawa dirinya memiliki cincin/rantai berlian bernilai AS$27.3 juta berdasarkan dakwaan terbaru DOJ,” katanya.
Sehubungan itu, kata Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, pentadbiran UMNO bukanlah berhadapan masalah persepsi yang kononnya dicipta pembangkang, sebaliknya rakyat kini semakin celik terhadap penyelewengan yang dilakukan parti pemerintah itu.
“Apa yang paling penting, kami yakin penduduk Selangor akan tetap menyokong Pakatan Harapan yang terdiri daripada Bersatu, Amanah, PKR serta DAP dan menolak semua parti yang gagal memerangi satu-satunya kes rompakan dan kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa masalah yang dihadapi 1MDB kononnya adalah disebabkan oleh persepsi yang dicipta pihak pembangkang.
Tengku Adnan atau Ku Nan justeru berikrar untuk kononnya mematahkan segala hujah pembangkang mengenai skandal berkenaan bagi merampas semula Selangor.
Speaker Dewan Rakyat dalam persidangan yang lepas menolak lebih 30 soalan berhubung 1MDB dengan pelbagai alasan yang dianggap Pakatan Harapan sebagai tidak munasabah dan mendakwa ia sebagai usaha kerajaan untuk menutup skandal syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) itu. – Roketkini.com