Berita

HARAPAN persiap jentera hadapi PRU14

PETALING JAYA, 14 OGOS: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini bersetuju membentuk sekretariat yang terdiri daripada setiap parti komponen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu diumumkan Presiden HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini, sebentar tadi.

HARAPAN juga, katanya, sebulat suara bersetuju untuk menyediakan bilik operasi sepenuh masa yang akan menyediakan segala maklumat dan data berhubung persiapan pilihan raya.

“Di samping itu, kita juga memutuskan untuk memberikan tumpuan khusus kepada kawasan-kawasan pilihan raya tertentu.

“(Ia) untuk memastikan supaya kita boleh mendapat sejumlah kerusi-kerusi yang boleh kita menangi untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang,” katanya yang juga Presiden PPBM.

Gabungan itu, katanya lagi, turut memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan raya di peringkat negeri dan di peringkat kawasan-kawasan Parlimen yang bakal ditandingi kelak.

“Ini bertujuan untuk kita mendapat tahu tentang segala persiapan yang telah dan akan dilakukan oleh parti kita di peringkat negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.

“Dan kita nanti akan memantau persiapan itu dan akan menghantar pasukan-pasukan untuk membuat penaksiran tentang sejauh mana persiapan itu telah dibuat, apakah kelemahan, dan usaha penambahbaik yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Tiada dominasi satu parti

Mantan timbalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata, segala gerak kerja adalah berdasarkan persetujuan secara bersama dan bukan didominasi oleh mana-mana parti komponen dalam HARAPAN.

“Segala gerak kerja kita adalah atas nama Pakatan Harapan. Bukan atas nama PPBM, ataupun Keadilan, Amanah, ataupun DAP,” tegasnya.

Katanya, matlamat utama HARAPAN ketika ini adalah untuk memperolehi kemenangan dalam pilihan raya akan datang bagi mengantikan kerajaan Barisan Nasional (BN)

“Sebab itu kita mengenepikan apa-apa perbezaan, apa lagi penekanan pada soal parti-parti tertentu sahaja.

“Apa yang penting sekarang ini adalah kita bertanding menggunakan satu simbol, satu logo, yang telah diputuskan majlis presiden,” ujarnya. – Roketkini.com