Berita

Mahkamah Tinggi batalkan perintah reman Exco P.Pinang

GEORGE TOWN, 14 OGOS: Anggota mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh dibebaskan dari perintah reman lima hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Penghakiman dibuat hakim Lim Chong Fong yang membatalkan keputusan penolong pendaftar yang dibuat Sabtu lalu.

Phee ketika hadir ke mahkamah pagi tadi memakai baju tahanan SPRM berwarna jingga dan sempat berjumpa dengan ahli keluarganya dan dipeluk oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang lapor Malaysiakini.

“Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat, kita mesti berdiri bersama kerana ini adalah masa paling gelap di Malaysia”, katanya kepada media.

Peguam yang mewakili Phee, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh berkata, perintah reman selama lima hari terhadap Phee bukan sesuatu yang lazim kerana ia dikeluarkan oleh penolong pendaftar Ameera Mastura Khamis tanpa mendengar hujah anak guam mereka.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ditemui di luar mahkamah berkata, dasar kerajaan negeri terhadap struktur atau bangunan haram adalah kekal.

Menurutnya, kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan adil dan ‘menang-menang’ dan bukannya bertindak sewenang-wenang mengharamkan perniagaan atau merobohkan premis sesuka hati.

“Kami tunggu penjelasan daripada SPRM. Jika suruhanjaya itu boleh campur tangan dalam dasar negeri, ini bukan sahaja memberi kesan kepada Pulau Pinang tetapi negeri-negeri lain juga,” kata Guan Eng.

Phee ditahan Jumaat lalu kerana didakwa menulis surat kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkenaan operasi kilang penapis karbon di Bukit Mertajam yang dipercayai tidak mengikut undang-undang. – Roketkini.com