KUALA LUMPUR, 14 OGOS: DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa individu yang dipercayai penyokong UMNO melakukan provokasi terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu acara forum di Shah Alam, semalam.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, budaya tidak menghormati pemimpin terdahulu seumpama itu adalah bertentangan nilai budaya masyarakat Malaysia yang mengamalkan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa.
“Tidak seharusnya kita menggunakan kekerasan untuk melawan sesuatu perbezaan pendapat,” katanya ketika dihubungi Roketkini, hari ini.
“Hujah tidak boleh dilawan dengan kekerasan. Lebih-lebih lagi perbuatan ini ditujukan kepada seorang bekas perdana menteri.”
Forum Nothing To Hide 2.0 anjuran sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas apabila beberapa individu bertindak membaling kasut ke arah Tun Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam yang menjadi tempat forum itu berlangsung turut kecoh apabila suar dinyalakan oleh individu yang berpakaian merah dengan logo rasmi BERSATU.
Ketua ARMADA, Syed Saddiq bagaimanapun menafikan bahawa ia dilakukan oleh ahlinya.
Mengulas mengenai tindakan polis yang mahu menyiasat penganjur kerana keselamatan yang longgar, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pihak berkuasa sepatutnya terlebih dahulu memburu dan menyiasat dalang di sebalik kekacauan tersebut.
“Sudah tentunya penganjur telah mengambil pelbagai langkah untuk menjaga keselamatan. Tetapi apabila ada individu yang melakukan kekacauan dan kekecohan, sudah tentu itu suatu perbuatan jenayah.
“Polis perlu bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan kepada sesiapa yang melakukan kekecohan tersebut,” ujarnya.
Selain Tun Mahathir, forum berkenaan turut menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pemimpin UMNO berkenaan bagaimanapun tidak hadir pada hari tersebut.
Ia dianjurkan bagi membuka ruang kepada kedua-dua seteru itu untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan rakyat, khususnya melibatkan skandal firma pelaburan negara, 1MDB. – Roketkini.com