Berita

HARAPAN Johor diketuai bekas menteri besarnya, Khaled Nordin takut apa?

PETALING JAYA, 15 OGOS: Tidak timbul isu bahawa DAP akan memerintah kerajaan negeri Johor secara bersendirian jika UMNO berjaya ditumbangkan di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, ini kerana setiap kemenangan yang diraih adalah hasil kerja dan usaha sebagai satu pasukan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga bekas Menteri Besar negeri itu.

“Jadi saya rasa tidak perlu untuk Datuk Seri Khaled Nordin (Menteri Besar Johor) berterusan memomokkan DAP dengan tuduhan berkenaan.

“Ia hanya menunjukkan mereka tidak bersedia dan gentar untuk menghadapi HARAPAN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di sini, semalam.

Khaled dalam ucapannya pada Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pagoh minggu lepas menuduh DAP kononnya mengamalkan pemikiran liberal dan menggesa agar ahlinya terus mempertahankan negeri itu.

Mengulas perkara berkaitan, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang menegaskan bahawa mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan HARAPAN, perlulah terlebih dahulu bersetuju bahawa kerajaan UMNO perlu ditumbangkan dalam PRU14 akan datang.

“Kami (HARAPAN) mahu membentuk kerajaan yang baru, dan itu beza yang ketara” ujarnya yang dipercayai merujuk kepada PAS yang kini dilihat semakin intim dengan seteru lamanya, UMNO. – Roketkini.com