Berita

Keluarkan surat pun kena lokap dan dipakai gari? Kenapa tak gari Latif Bandi?

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Tindakan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Phee Boon Poh yang kemudiannya dibatalkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membangkitkan kebimbangan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Rakan sejawatnya yang juga Exco Pulau Pinang itu, katanya, dikenakan tindakan hanya kerana mengeluarkan dua surat bagi meminta tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah kilang haram ditangguhkan sehingga jalan penyelesaian terbaik dicapai.

Kebimbangan itu timbul berikutan, Lip Eng sebelum ini turut pernah menulis surat kepada Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya menangguhkan tindakan meroboh dan menghalau penghuni premis haram.

Beliau justeru itu, secara sinis meminta supaya SPRM memberi notis terlebih dahulu supaya beliau boleh menyerah diri ke lokap badan berkenaan jika apa yang dilakukannya itu melanggar undang-undang.

“Jika benar saya seorang suspek di mata SPRM dan perlu ditahan reman sehingga lima hari, saya perlu meminta para penghuni premis haram khususnya penduduk setinggan supaya meminjam wang secukupnya untuk membayar peguam, kerana mereka juga pastinya akan ditahan bersama-sama saya.

“Begitu juga dengan pegawai DBKL dan Datuk Bandar yang mungkin akan disoal siasat oleh pihak SPRM, berikutan surat saya itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu menegaskan bahawa beliau dan Boon Poh tidak pernah mendapat keuntungan atau saham daripada mana-mana kilang haram.

“Lebih penting lagi, seperti Phee, saya tidak menerima apa-apa balasan apabila berjabat tangan dengan mereka yang datang berjumpa, baik yang mendiami bangunan haram, penjaja haram, tokong haram, kuil haram, gereja haram, setinggan atau kilang haram; untuk meminta bantuan saya,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sikap pilih kasih SPRM dalam menjalankan tugasnya.

“Selain misteri kenapa Saudara Phee perlu digari tidak seperti Exco UMNO Johor yang tidak digari ketika dibawa ke mahkamah, SPRM perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kenapa mereka tidak mempunyai sikap yang sama terhadap ahli politik Barisan Nasional (BN) yang menulis surat untuk membantu pemilik premis haram.

“Atau adakah SPRM boleh mengesahkan bahawa ahli politik BN langsung tidak mengeluarkan surat seperti itu?” soalnya.

Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi pada April lepas menghadapi 33 pertuduhan membabitkan rasuah berkaitan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta.

Berdasarkan carian atas talian, tiada sebarang imej yang menunjukkan Abd Latif digari oleh pegawai SPRM ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan. – Roketkini.com