Berita

DAP ajak orang ramai memperingati jasa dan pengorbanan Kerk Kim Hock

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: DAP akan mengadakan acara bagi memperingati jasa dan pengorbanan bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock yang meninggal dunia pada 9 Ogos lepas akibat menderita penyakit kanser, umum pemangku Pengerusinya, Tan Kok Wai.

Acara berkenaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini, akan diadakan pada 23 Ogos depan iaitu pada Rabu bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) dan akan bermula pada jam 8 malam hingga 10.30 malam.

“Sebagai penghormatan buat pemimpin yang hebat namun rendah hati ini, DAP menjemput seluruh rakyat Malaysia yang menghargai sumbangannya untuk sama-sama memperingati Kerk dan kehidupannya, serta kembali mendidik diri tentang sejarah dan mencari kekuatan dalam semangat setiakawan; demi bergerak maju bersama-sama ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Cheras.

Kerk disahkan menghadapi kanser rektal pada 2002. Beliau bagaimanapun menjalani kehidupan normal selama 12 tahun sebelum penyakit itu kembali menyerang pada 2015, kata Kok Wai.

“Kerk kekal menjadi sahabat karib kepada ramai pemimpin parti, sehinggalah beliau meninggal dunia,” ujarnya.

Semasa hayatnya, Kerk pernah menyandang jawatan Presiden Monash University Malaysian Students Union ketika menuntut di institut pendidikan berkenaan, sebelum mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan menyertai DAP pada 1986.

Langkah kanan dalam dunia politik ternyata membuahkan hasil buat Kerk apabila beliau berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Daun, Melaka pada tahun yang sama.

Beliau turut melalui titik hitam dalam sejarah kerjayanya sebagai ahli politik apabila ditahan bersama-sama 15 lagi pemimpin DAP mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Oktober 1987.

Tiga tahun kemudian, Kerk bangkit memenangi pula kerusi Parlimen Pasir Pinji dan pada 1999 beliau berjaya menawan kerusi Parlimen Kota Melaka.

Kerk merupakan Setiausaha Agung keempat DAP. Beliau melepaskan semua jawatan parti setelah tewas dalam pilihan raya umum pada 2004. – Roketkini.com