Rencana

Nasionalisme dan dilema Bangsa Johor

UMNO Johor keliru dan gagal menggigit soalan yang dilontarkan dalam siri-siri rencana saya. Sebaliknya mereka menggunakan pahlawan siber (cybertroopers) untuk menfitnah dengan menukar ayat-ayat saya dengan sewenang-wenangnya.

Malah penulis-penulis upahan ini melarikan diri dari soalan saya dengan mengheret persoalan ke hal bangsa, sejarah dan parti yang sama sekali tidak releven dengan soalan yang saya nyatakan.

Menerusi mereka saya diperlekeh dan digambarkan seolah-oleh menghina Bangsa Johor, dengan harapan saya akan dihentam dengan orang bangsawan dan masyarakat.

Bukan soal kepartian

Pada mulanya, saya tidak langsung menjangkakan bahawa pandangan saya dalam beberapa siri rencana ini akan diberi perhatian oleh puak-puak UMNO. Sebaliknya saya merasakan ini sekadar pandangan pinggiran, hanya memenuhi ruang bacaan bagi rakan-rakan yang muak dengan cerita politik sensasi.

Malah, sejujurnya cara dan bahasa politik saya ini juga kurang disenangi oleh parti saya sendiri. Parti saya lebih gemar menumpukan langkah ‘straight forward’ atau terus bercakap soal dasar dan isu semasa.

Tetapi saya mengambil laluan berbeza dengan pendekatan parti, maka itu saya tidak merasakan pandangan saya ini releven dengan selera politik masa kini.

Bagi saya, artikulasi politik, olahan pandangan dan sudut pandang politik seharusnya boleh duduk dalam kerangka kebudayaan, bukan hanya kerangka politik kepartian atau premis isu semasa.

Bahasa politik saya melangkaui usaha nak menang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14). Bahasa politik saya jauh dari persoalan siapa nak jadi Menteri Besar Johor. Bukan saya tidak mahu menang, tetapi bagi saya kemenangan atau kekalahan itu hanya satu fasa dari proses yang panjang dan berlapis-lapis. Orang sekecil saya, mungkin tak mampu mengharunginya.

Saya mahu melihat kemungkinan wujudnya budaya politik yang waras dan adil, satu idea yang jauh dari polemik politik kepartian, pilihanraya termasuk sentimen asabiyah perkauman atau agama.

Disinilah dimana, penulis-penulis upahan UMNO hatta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor sendiri gagal memahami konteks dan latar pandangan saya ini. Mereka ingat saya berpolitik seperti Rafizi Ramli atau ketua-ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Saya bukan Rafizi, Tony Pua atau tokoh-tokoh besar yang lain. Saya berwacana.

Politik wacana

Sebelum ini, sentuhan saya kepada parti Amanah dan PPBM mendapat reaksi yang kurang menyenangkan dikalangan rakan-rakan. Saya terima seadanya, kerana saya sedar kita semua sedang berhadapan dengan fikrah pemikiran sebegini.

Dizaman 80-90an, bila genre Rock Kapak (Carpark) laku dipasaran, semua orang nak jadi Rock Kapak, nak dilihat ranggi dengan gaya Rock Kapak. Zaman Nasyid, ceramah politik pun nak buat nasyid. Zaman K-Pop pun begitu juga.

Pasaran boleh membuka dan mengekang daya imaginasi kita. Tetapi seringkali, kita memilih untuk mengekang imaginasi kita. Sekarang zaman Hipster. Yang tak mengikutinya, mungkin akan ketinggalan.

Begitulah adanya dengan fikrah politik kita sekarang, tak kira BN atau HARAPAN. Memang keadaan ini akan terus wujud dan ada pengikutnya. Tetapi, ruang bagi wacana lain tentunya ada juga.

Kerana itu saya memilih wacana politik yang sedikit berbeza dari garis arus perdana. Saya menyentuh tentang identiti Amanah dan idealisme PPBM, bukan saya hina atau membuat tuduhan melulu. Hingga ada rakan-rakan yang sinis bertanya, surat untuk DAP dan PKR tak adakah?

Jika rakan-rakan dalam sesama parti pun sukar untuk membaca pandangan saya, maka orang-orang UMNO lagilah payah nak memahaminya. Ini kiraan saya.

Nasionalisme dan dilema Bangsa Johor

Saya melihat krisis politik dalam negara kita hari ini adalah krisis kenegaraan.

Diatas kertas, isu 1MBD atau Felda dan lain-lain termasuk skandal National Feedlot Corporation (NFC) sebelum ini, adalah dilihat berkaitan dengan isu ketelusan dan integriti. Tetapi pada hakikatnya, ini adalah manifestasi kepada krisis kenegaraan.

Mereka yang berkuasa, bukan sahaja tidak hormat undang-undang, tetapi membelakangkan idea tujuan sebuah negara. Tidak ada malu, hormat dan tanggungjawab inilah yang melahirkan sikap hipokrit dan korupsi. Negara diambang kegagalan.

Setiap negara akan melalui proses perjuangan, kemerdekaan dan kemajuan. Proses-proses ini dibina oleh nasionalis, bukan kontraktor UMNO atau China.

Begitulah dalam konteks politik negeri Johor. Masa depan negeri akan banyak dipengaruhi oleh politik nasional. Nasib Bangsa Johor ini sama sahaja dengan nasib Bangsa Sarawak dan Sabah, hatta negeri-negeri lain.

Di Johor, saya melihat UMNO sering menggunakan slogan Bangsa Johor dalam manifestasi politik kepartian mereka. Saya sedar, ini sesuai dengan selera pasaran tempatan.

Maka itu saya bertanya, adakah UMNO Johor bersetuju bahawa mereka sedang mendahulukan nasib dan kelangsungan politik kerajaan Kleptokrasi Najib Tun Razak, mengatasi masa depan Bangsa Johor?

Setakat ini, jelas mereka menyokong kepimpinan Kleptokrasi Najib, adakah ini bermakna mereka bersetuju dengan langkah politik Najib yang telah membebankan ekonomi rakyat di Johor?

Saya pesimis mereka akan menjawabnya dengan jujur. Sebaliknya mereka mungkin akan terus memutar persoalan saya dengan kata-kata palsu, menfitnah dan menggambarkan saya sebagai manusia yang buta sejarah, perosak bangsa dan sebagainya.

Bagi saya ini hipokrasi politik yang diwarisi dari kepimpinan Khaled Nordin dan UMNO Johor. UMNO meletakkan Bangsa Johor dalam dilema. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.