Rencana

Tingkatkan kewangan rakyat: Rakyat senang negara makmur

Pengerusi Biro Professional Muda UMNO, Shahril Hamdan di dalam satu debat berkenaan dasar ekonomi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) seperti yang dilaporkan media mengatakan bahawa dasar ekonomi Kerajaan Barisan Nasional merupakan yang terbaik dan paling praktikal. Beliau memberi contoh pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai satu keputusan yang baik kerana menyumbang kepada pendapatan kerajaan bagi melaksanakan pembangunan dalam negara seperti membina hospital, sekolah, jalanraya dan sebagainya.

Berdasarkan perangkaan perbendaharaan negara, pendapatan kerajaan yang diperolehi terus daripada rakyat melalui cukai pendapatan dan GST berjumlah RM66 bilion atau 30% daripada pendapatan kerajaan untuk tahun 2016 dan dijangka akan meningkat kepada RM71 bilion atau 32% daripada pendapatan kerajaan untuk tahun 2017.

Saya ingin bertanya, apa sebenarnya dasar ekonomi BN yang benar-benar berjaya menjana pertumbuhan dan pendapatan negara? Melalui kenyataan Shahril kita melihat seolah-olah beban menjana pendapatan negara dialihkan kepada rakyat sementara kerajaan hanya goyang kaki dan cuma tahu berbelanja.

Selain itu, Shahril juga menggambarkan bahawa meningkatkan kewangan dan ekonomi rakyat tidak berfaedah kerana tidak dapat menjana pendapatan negara walaupun dapat menjana ekonomi negara. Ini adalah pendapat yang dangkal dan simplistik. Perbelanjaan swasta atau perbelanjaan rakyat adalah pemandu terbesar ekonomi negara di mana ia menjana lebih dari 50% ekonomi negara.

Tidakkah Shahril terfikir, bahawa pendapatan syarikat yang seterusnya menjadi pendapatan negara melalui cukai pendapatan syarikat, sebenarnya dijana oleh perbelanjaan rakyat? Maka untuk menjana pendapatan negara, kewangan dan ekonomi rakyat hendaklah dipertingkatkan!

HARAPAN Dalam Menyelesaikan Kemelut Ekonomi Negara dan Rakyat

Mengikut pandangan pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, pertumbuhan ekonomi negara yang dibanggakan oleh Kerajaan BN tidak dirasai kesannya oleh rakyat. Dua faktor utama adalah kenaikan kos sara hidup dan kesenjangan upah. Kesenjangan atau jurang upah antara rakyat Malaysia terkaya dan pekerja biasa masih kekal lebar. Dua isu ini sebenarnya adalah isu ekonomi rakyat yang utama dan perlu menjadi fokus dasar ekonomi kerajaan pada masa ini.

Untuk mengelakkan kenaikan kos sara hidup yang melampau dan tidak terkawal, HARAPAN telah menyatakan bahawa antara perkara utama yang akan dilakukan ialah menstabilkan harga petrol. Harga bahan api yang tidak menentu mengakibatkan kenaikan harga bagi bahan-bahan makanan yang merupakan antara perbelanjaan terbesar golongan isi rumah.

Kos untuk menstabilkan harga minyak melalui harga siling adalah tidak membebankan kerajaan berdasarkan paras harga minyak dunia sekarang, jika dibandingkan dengan manfaat yang diperolehi, yakni mengekang kenaikkan kos sara hidup untuk kebajikan rakyat dan menjana perbelanjaan rakyat.

Kenaikan gaji di negara ini begitu rendah iaitu sekitar 2.3% berbanding Indonesia (4.6%), Thailand (3.5%), Vietnam (5.6%) dan Filipina (2.5%). Bagi menyelesaikan kesenjangan upah, Pemuda Pakatan Harapan dalam Tawaran Pemuda mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perundingan Gaji yang melibatkan pihak majikan, kerajaan dan pekerja. Kesatuan sekerja perlu dikukuhkan dan mempunyai autoriti untuk pihak kerajaan dan majikan berunding tentang gaji yang sesuai bagi mengukuhkan kedudukan pekerja di seluruh sektor tanpa mengabaikan kemampuan pihak majikan.

Berdasarkan dasar-dasar ini dan termasuklah penghapusan GST, fokus kepada meningkatkan ekonomi dan kewangan rakyat adalah lebih produktif dalam menggalakkan ekonomi serta menjana pendapatan kerajaan. Isu bukanlah pendapatan RM20 bilion mahupun RM100 bilion, tetapi lebih kepada isu keutamaan dan tekad usaha memberikan ekonomi yang adil untuk semua.

Berbilion untuk rakyat, mana sama dengan berbilion untuk kleptokrat dan keluarganya. – Roketkini.com

*Edry Faizal adalah Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Subang dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.