Berita

DAP mahu cepat-cepat selesai pemilihan semula, gesa ROS jangan berlengah

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) nampaknya terus berlengah dalam berurusan dengan DAP, sedangkan pihak parti telah bersungguh-sungguh mahu mengadakan pemilihan semula seperti yang diarahkan agensi terbabit.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat DAP pagi tadi, Naib Pengerusi Kebangsaan, Teresa Kok berkata, pemilihan semula yang telah dicadang berlangsung pada 10 September itu, mungkin terpaksa ditangguh berikutan kelambatan ROS.

“Semalam ROS berkata mereka akan hantar surat kepada DAP dalam tempoh sehari dua ini, jadi kita tunggu, kerana kita perlukan masa untuk menghantar surat kepada perwakilan.

“Kita memang mahu adakan pemilihan pada 10 September, tapi kita perlu tunggu surat itu hari ini atau esok,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Mengulas lanjut, Teresa berkata bahawa adalah penting bagi ROS untuk hadir dan mengikuti pemilihan semula terbabit.

Julai lalu, Ketua Pengarah ROS Muhammad Razin Abdullah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat kerana tidak mengiktiraf keputusan pemilihan semula yang telah diadakan empat tahun lalu.

Arahan itu dikeluarkan beberapa hari sahaja selepas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin menjawab analisis DAP tentang majikannya dengan mengancam bahawa parti tersebut mungkin tidak boleh menggunakan lambang roket ekoran masalah dengan ROS yang belum selesai. – Roketkini.com