Berita

Situasi Johor sudah ranum untuk ditadbir HARAPAN

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Mesyuarat Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat negeri Johor hari ini mengumumkan struktur kepimpinannya bagi memperkukuhkan persiapan untuk merampas pentadbiran negeri berkenaan daripada UMNO-Barisan Nasional (BN).

Perkara itu diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang sebulat suara dipilih untuk menerajui HARAPAN Johor sebagai pengerusi.

“Manakala kesemua ketua-ketua (atau pengerusi) parti-parti (komponen HARAPAN) peringkat negeri dilantik sebagai timbalan pengerusi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPBM Johor di sini sebentar tadi.

Mereka adalah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim; Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin; dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

“Setiausaha HARAPAN Johor adalah Datuk Osman Sapian iaitu Setiausaha PPBM Johor. Bendaharinya adalah Gan Peck Cheng daripada parti DAP,” ujarnya.

Selain itu, menurut Muhyiddin, HARAPAN Johor turut bersetuju untuk melantik Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden Amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya di peringkat negeri.

“Yang akan membantu beliau (Salahuddin) adalah Timbalan Pengarahnya iaitu Ir Nasir dari PPBM,” ujarnya.

HARAPAN Johor juga, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, telah memutuskan untuk membentuk Biro Penerangan dan Mobilisasi yang akan diketuai oleh Suhaizan Kayat daripada Amanah.

“Selain itu, Biro Tawaran dan Dasar (diketuai) Dr. Ramakrishnan daripada DAP, Biro Perpaduan (diketuai) Kuzan Abu Bakar daripada PKR, Biro Guaman (diketuai) Jimmy Pua daripada PKR, Biro Ekonomi dan Pembangunan (diketuai) Mazlan Bujang daripada PPBM,” katanya.

Suhaizan, Dr. Ramakrishnan dan Kuzan pula masing-masing akan dibantu oleh Sheikh Omar daripada DAP, Zulkifli Ahmad (Amanah), dan Ir Khairuddin Abd Rahim (Amanah).

Muhyiddin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan beliau sebentar tadi turut membincangkan mengenai persiapan pilihan raya.

“HARAPAN Johor yang saya pimpin berpendapat bahawa situasi dan keadaan yang ada di peringkat negeri Johor ini sudah sampai ke tahap matang untuk HARAPAN mengambil alih sampai pilihan raya yang akan datang nanti.

“Dan ini berdasarkan kepada fakta, data dan juga tinjauan-tinjauan yang telahpun kita buat sejak beberapa tahun dan bulan kebelakangan ini. Maka sebab itu strategi untuk HARAPAN negeri Johor ialah untuk menawan negeri Johor daripada UMNO-BN,” tegasnya. – Roketkini.com