Berita

Waris mendiang Kerk Kim Hock dilantik setiausaha politik Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Waris kepada bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock iaitu Kerk Chee Yee, 25, diumumkan sebagai setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Pengumuman itu dibuat sewaktu Kit Siang berucap di hadapan kira-kira 300 hadirin dalam majlis Malam Kenangan Sdr Kerk Kim Hock yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Dalam ucapannya, Kit Siang berkata, “Ini adalah pertama kali ayah dan anaknya bekerja dengan saya,” ujarnya sebelum memanggil Chee Yee naik ke pentas.

Beliau menyeru seluruh anggota dan pimpinan parti meneruskan pencapaian, semangat dan kesetiaan Kerk kepada parti dan negara dikukuhkan.

“Ayuh kita jadikan kesedihan ini sebagai azimat untuk melakar perubahan,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Terlebih dahulu, Kerk Chee Yee dalam ucapannya mendedahkan bahawa ayahnya seorang yang sangat mementingkan sifat kekeluargaan meskipun sibuk menguruskan hal ehwal parti.

“Sebagai ahli politik, ayah seorang sibuk, dari utara hingga ke selatan. Ada ketikanya, meskipun terpaksa ke luar negara, ayah akan hubungi beberapa kali setiap hari untuk bercakap dengan kami,” kata Chee Yee.

Chee Yee yang juga Graduan dari Universiti Melbourne dalam jurusan perdagangan itu berkata, ayahnya juga seorang yang hidup penuh sederhana dan tidak mementingkan kemewahan.
“Ayah tidak percaya nilai kebahagiaan itu diukur dengan wang ringgit.

“Saya masih ingat semasa ulangtahun kelahirannya dua tahun lalu, saya ajak keluarga keluar makan malam sambut hari jadi ayah, beliau hanya pilih untuk makan mee sup ikan di salah satu kedai makan yang sering dikunjunginya di Melaka.

“Kalau diikutkan keadaan kedai itu, saya rasa takkan ada orang nak sambut harijadi di situ. Bagaimana pun, kami sekeluarga dapat meluangkan masa yang berkualiti,” katanya.

Kerk Kim Hock menghembuskan nafasnya yang terakhir 9 Ogos lalu setelah 15 tahun berjuang melawan barah yang dihidapinya.

Selain pernah menjadi setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undnagan Negeri (Adun) Durian Daun dari tahun 1986 hingga 1990.

Kerk juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pasir Pinji (Ipoh Timor) dari tahun 1990 dan 1999 serta menjadi wakil rakyat Parlimen Kota Melaka dari tahun 1999 hingga 2004 sebelum bersara dari politik.

Dalam tempoh 1999 hingga 2004, Kerk telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung DAP yang keempat.

Selain anggota, penyokong dan pemimpin DAP, majlis malam tadi tadi turut dihadiri wakil parti-parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN), ahli keluarga, sahabat handai dan orang awam. –Roketkini.com