Berita

Semangat setiakawan dan senyuman Kerk Kim Hock terus dikenang

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Semangat perjuangan mendiang Kerk Kim Hock ketika hayatnya bukan sahaja dirasai oleh ahli dan pemimpin DAP, malah turut dirasai oleh rakan seperjuangan daripada parti-parti politik yang lain.

Menceritakan pengalamannya sepanjang mengenali Kerk, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyifatkan pemimpin veteran DAP itu sebagai seorang yang mementingkan semangat kesetiakawanan.

“Walaupun Keadilan (PKR) pada waktu itu parti baru, tetapi saya dapat merasakan (kesetiakawanan Kerk) melalui siri-siri pembincangan pembahagian kerusi.

“Kerk tidak melihat Keadilan sebagai satu parti yang lemah. Tetapi sebagai sebuah parti yang mempunyai potensi untuk digembleng kerjasama,” katanya dalam ucapan pada majlis Malam Kenangan Kerk Kim Hock di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Setiausaha Agunng DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution

Walaupun tempoh pengenalan beliau bersama Kerk singkat jika dibandingkan dengan pemimpin tertinggi DAP, Pembantu Khas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tetap menganggap mendiang sebagai sebuah simbol perjuangan menentang kerajaan yang zalim.

“Kerk adalah lambang, seorang rakan waktu senang dan waktu susah. Dan (sikap) inilah yang amat kurang dalam kita memperkatakan tentang kesetiakawanan politik pada hari ini,” katanya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu turut mengambil kesempatan dalam majlis berkenaan menceritakan mengenai pengalamannya bersama Kerk sebagai anggota Parlimen selama dua penggal.

“Daripada tahun 90, kemudian sekali lagi saudara Kerk Kim Hock masuk Parlimen pada tahun 99, Kerk bukan seorang yang garang tetapi beliau bercakap berterus-terang,” katanya dalam ucapannya.

“Dalam Parlimen kami selalu berpakat untuk membuat soalan ataupun soalan-soalan yang perlu kami bertanya satu sama lain untuk didedahkan di dalam Parlimen. Beliau seorang rakan yang sanggup bekerjasama dan langsung tidak kedekut memberi maklumat.”

Katanya yang mesra dengan gelaran Mat Sabu, Kerk adalah pemimpin yang dilihatnya sering menguntumkan senyuman.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu

“Lihatlah gambar-gambarnya (Kerk) semua senyum. Sehingga saya lihat mayatnya pun ketika itu dalam keadaan tersenyum. Beliau meninggalkan kita dalam keadaan senyum, walaupun beliau menghadapi penderitaan dan kesakitan yang amat sangat.

“Itulah Kerk Kim Hock (yang) menyembunyikan kesakitannya tetapi menzahirkan senyumannya kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Kerk menghembuskan nafasnya yang terakhir 9 Ogos lalu setelah 15 tahun berjuang melawan barah yang dihidapinya.

Selain pernah menjadi setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Daun dari tahun 1986 hingga 1990.

Kerk juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pasir Pinji (Ipoh Timor) dari tahun 1990 dan 1999 serta menjadi wakil rakyat Parlimen Kota Melaka dari tahun 1999 hingga 2004 sebelum bersara dari politik.

Dalam tempoh 1999 hingga 2004, Kerk telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung DAP yang keempat. –Roketkini.com